PEMAIN negara Shahmie Irfan Suhaimi (kanan) diasak pemain Afrika Selatan. FOTO Bernama
PEMAIN negara Shahmie Irfan Suhaimi (kanan) diasak pemain Afrika Selatan. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Impian skuad remaja negara menamatkan Kejohanan Bawah 21 tahun (B21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 di tempat kelima tidak kesampaian selepas tewas tipis 2-3 kepada Afrika Selatan dalam aksi di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, petang tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Muhamad Amin Rahim menduduki tempat keenam malah tewas kali kedua dengan jaringan 1-3 pada aksi liga satu pusingan dan jelas masih banyak kelemahan perlu diperbaiki terutama menyudahkan pukulan sudut penalti yang cukup mengecewakan.

Malah Muhamad Amin sendiri mengakui kelemahan menyudahkan pukulan sudut penalti masih belum sempurna dan akan memperbaiki selepas pemain kembali menjalani latihan selepas diberi rehat selama dua minggu.

"Daripada enam pukulan sudut penati yang kita dapat 40 peratus berjaya menghasilkan jaringan dan saya tetap berpuas hati tapi masih ada kelemahan dari aspek menahan bola yang saya lihat agak kelam-kabut.

"Secara keseluruhan saya gembira dengan penyudah pukul sudut penalti pada kejohanan ini, biarpun kurang latihan dan pendedahan aksi antarabangsa mereka mampu pamer permainan yang baik terutama Shahmie Irfan (Suhaimi) yang menghasilkan walaupun jarang ambil pukulan sudut penalti.

"Mereka akan diberi rehat selama dua minggu dan hanya penjaga gol, Amir Muhaimin (Ahmad Mustaqiem) dan Syawal (Abd Razak) tidak akan menjalani latihan bagi persiapan Piala Dunia Remaja kerana melepasi had umur manakala 40 hingga 50 akan hadir bagi pemilihan terbuka," kata Muhamad Amin.

Seawal minit ketujuh suku pertama, skuad remaja negafra terlepas peluang untuk mendahului Afrika Selatan apabila bola tolakan Danish Aiman Khairil Anuar gagal dipukul kemas bola ketika Hazreeq Alief Rosli berdepan penjaga gol, Reece Govender.

Sebaliknya skuad kendalian Guy Elliott mengambil kesempatan mendahului skuad remaja negara pada minit ke-11 selepas Niel Raath mudah menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol, Amir Muhaimin.

Bagaimanapun, Afrika Selatan tersentap dengan gol penyamaan skuad remaja negara selang semint kemudian selepas kapten Amirul Haniff Mamat menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti menewaskan Govender.

Anak didik Elliott kembali berada di depan pada minit ke-25 apabila Hans Neethling pantas mengambil kesempatan menolak bola masuk ke gawang gol menewaskan Amir Muhaimin ketika berlaku kekalutan di kawasan D.

Memasuki suku ketiga babak kedua, skuad remaja menggandakan asakan dalam usaha memburu gol penyamaan namun masih buntu menjaringkan gol selepas Govender beraksi cemerlang menjaga gawang apabila menafikan percubaan berbahaya anak didik Muhamad Amin.

Namun pada minit ke- 36 skuad remaja negara terus ketinggalan dengan kedudukan 1-3 selepas Raath mencipfa gol kedua peribadi apabila mudah menyempurnakan penalti.

Walaupun Zulhanif Sahran menjaringkan gol padang pada minit ke-38 namun gol itu dibatalkan oleh umpire perlawanan, Khamis Al Balushi dari Oman yang mengesan kesalahan dilakukan pemain skuad remaja negara.

SSkuad remaja negara merapatkan jurang gol ketika aksi berbaki empat minit untuk ditamatkan selepas Zulhanif meledak gol menerusi pukulan sudut penalti namun sudah terlewat tatkala kedudukan 3-2 yang memihak Afrika Selatan kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 6:12 PM