AKSI perlawanan Malaysia menentang Thailand hari ini. FOTO FB 19th Asian Games Hangzhou 2022
AKSI perlawanan Malaysia menentang Thailand hari ini. FOTO FB 19th Asian Games Hangzhou 2022
Syafiq Aznan


Hangzhou: Penggiliran pemain dilakukan pengendali hoki negara, Arul Selvaraj nampaknya tidak menjejaskan kualiti permainan apabila mereka membelasah Thailand 9-0 pada aksi pertama kumpulan B Sukan Asia 2022, hari ini.

Jelasnya, dia memberi peluang sama rata kepada semua pemain untuk beraksi dan mereka membalas kepercayaannya dengan memberikan aksi terbaik bagi membuka kempen kali ini dengan nada positif.

"Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain kerana ini perlawanan pertama. Lagipun keputusan seperti ini memang sudah dijangka.

"Selain daripada dua kad kuning dilayangkan kepada pemain yang saya lihat bukanlah salah pemain, selebihnya saya berpuas hati dan menikmati perlawanan ini.

"Kita fokus daripada perlawanan ke perlawanan dan daripada situ, kita akan membina momentum untuk menghadapi aksi seterusnya," katanya.

Terdahulu, sembilan gol dijaringkan sudah cukup memberi gambaran terhadap penguasaan penuh ditunjukkan anak buah Arul pada aksi di Padang Hoki Gongshu Canal Sports Park itu.

'Speedy Tigers' hanya meledak tiga gol sehingga tamat suku kedua menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dengan gol pendahuluan disusuli jaringan Firhan Ashari dan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi.

Bagaimanapun, Malaysia 'mengganas' selepas rehat apabila memasuki suku akhir kedua apabila menambah empat lagi gol menerusi masing-masing menerusi Nik Mohd Aiman , Muhammad Azrai Aizad dan dua pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain.

Enggan berhenti dengan tujuh gol, dua lagi gol disumbat skuad negara pada suku keempat sumbangan Abdul Khaliq Hamirin dan Amirul Hamizan Azahar untuk Malaysia menoktahkan kemenangan bergaya 9-0 ke atas jiran Asean itu.

Selepas ini, skuad hoki negara akan berdepan Oman manakala Thailand akan menentang Korea Selatan di venue sama, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 12:11 PM