PEMAIN hoki negara meraikan jaringan ketika membelasah Oman 11-1, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMAIN hoki negara meraikan jaringan ketika membelasah Oman 11-1, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Bukan kemenangan besar 11-1 ke atas Oman, namun pengendali skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj lebih tersenyum selepas tiada pemainnya cedera serius bagi meneruskan 'peperangan' di Sukan Asia 2022.

Arul berkata, kondisi pemainnya yang perlu terus kekal cergas dan mampu diturunkan menjadi perkara paling penting buat skuad hoki lelaki negara, apatah lagi saingan masih panjang dalam misi mereka memburu pingat emas di bumi Hangzhou.

"Perkara paling penting bagi saya adalah bukan jaringan besar, tetapi ia adalah keadaan pemain.

"Apa yang lebih penting adalah tiada pemain kita yang mengalami kecederaan serius.

"Jadi saya lega dengan situasi ketika ini dan semua pemain pun gembira. Suasana dalam pasukan berada dalam keadaan baik, jadi kita akan teruskan kerja baik ini untuk aksi seterusnya," katanya selepas perlawanan di Gongshu Canal Sport Park Stadium.

Mengulas persembahan anak buahnya yang konsisten melakar dua kemenangan besar berturut-turut, Arul melihat ada peningkatan yang dimahukan berbanding aksi pertama ketika membelasah Thailand 9-0, namun itu tidak bermakna pemain boleh terus selesa.

"Satu lagi kemenangan besar 11-1 dan kita ada semua jenis gol daripada gol padang, pukulan sudut penalti dan pukulan penalti.

"Cuma mungkin kita boleh tambahbaik daripada segi teknikal.

"Fokus kita adalah menjadi bertambah baik daripada satu perlawanan ke perlawanan. Seperti saya katakan sebelum ini, tiga perlawanan pertama memberi kesempatan terbaik untuk kita terus mendapatkan rentak," katanya.

Terdahulu, 'Speedy Tigers' terus mengganas apabila kini meledak 20 gol hanya dalam dua aksi pertama Kumpulan B di Sukan Asia 2022.

Selepas membelasah Thailand 9-0 dua hari lalu, tiba giliran Oman menjadi 'mangsa kedua apabila anak buah Arul membenam lawan 11-1 walaupun tiada gol dihasilkan sepanjang suku keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 9:28 PM