AKSI pemain hoki Malaysia pada perlawanan Kumpulan B Sukan Asia Hangzhou 2022 menentang Indonesia di Stadium Gongshu Canal Sports Park. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKSI pemain hoki Malaysia pada perlawanan Kumpulan B Sukan Asia Hangzhou 2022 menentang Indonesia di Stadium Gongshu Canal Sports Park. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: "Saya tak puas hati!" Itu rumusan jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj meskipun anak buahnya membelasah Indonesia 9-2 pada aksi ketiga Kumpulan B sekali gus mengekalkan rekod sempurna dalam tiga perlawanan setakat ini di Sukan Asia 2022.

Malah, apa yang lebih membuatkan dia tidak gembira adalah apabila menyaksikan 'Malaysian Tigers' melepaskan dua gol pada hari ini selepas skuad negara turut dibolosi satu gol ketika berdepan Oman, kelmarin.

"Saya tidak puas hati dari segi konsentrasi, teknikal dan apabila kita membenarkan Indonesia menjaringkan dua gol. Saya tidak gembira dan saya akan selesaikannya esok.

"(Banyak pukulan sudut penalti dibazirkan) Saya rasa ada ramai antara kalangan pemain saya tidak berfikir dengan pantas ataupun tidak cukup untuk bermain dan kelekaan dari sudut persiapan mental semestinya memberi kesan.

"Saya akan cari jalan penyelesaiannya. Saya tidak bimbang langsung mengenai perkara ini tetapi itulah sikap pemain yang akan saya betulkan," katanya.

Terdahulu, Indonesia menjadi 'mangsa' ketiga buat negara selepas pasukan yang pernah dibimbing bekas pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah tewas 9-2 di tangan Malaysia.

Ini adalah kemenangan ketiga-tiga berturut dilakar anak buah Arul pada kempen kali ini yang menyaksikan mereka berjaya meledak 29 gol dalam tiga aksi pertama namun bolos dua gol.

Pada aksi terbabit, Malaysia bermula garang apabila merobek gawang Indonesia seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani namun Indonesia mengikat kedudukan di hujung suku pertama menerusi gol padang Ahdan Asasi.

Bagaimanapun, Malaysia kembali mendahului di permulaan suku kedua hasil jaringan Muhammad Firhan Ashari (m17) disusuli pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan (m19) untuk meletakkan mereka selesa 3-1 sehingga tamat suku kedua.

Indonesia terus jauh ketinggalan memasuki suku ketiga apabila Malaysia merobek gawang lawan sebanyak lima kali masing-masing menerusi Faizal Saari (m33), Muhammad Najmi (m35) Shello dan Silverius (m38), Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m42) dan Razie Rahim (m43).

Tidak cukup dengan lapan gol, 'Malaysian Tigers' menambah lagi derita Indonesia apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyumbat gol kesembilan menerusi pukulan sudut penalti (m48) sebelum Indonesia mendapat gol kedua menerusi pukulan penalti Aulia Al Ardh (m55).

Selepas ini, Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan bagi aksi penting yang dilihat bakal menjadi penentu kepada juara Kumpulan B, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 6:51 PM