SKUAD hoki negara meraih kemenangan besar. FOTO MHC
SKUAD hoki negara meraih kemenangan besar. FOTO MHC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara terus 'mengamuk' apabila membelasah Afrika Selatan 7-2 dalam aksi keempat kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Stadium Sultan Azlan Shah itu adalah aksi tertangguh sebelum ini yang menyaksikan pasukan hoki Afrika Selatan mendahului perlawanan pada minit ke-12 menerusi Cameron Yves Norman Le Forestier.

Skuad kendalian Arul Selvaraj tampil dengan lebih kemas dan tersusun apabila sering melancarkan serangan berbahaya sebelum menyamakan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Razie Abd Rahim selang enam minit kemudian untuk kedudukan 1-1.

Beraksi dalam keadaan hujan tidak menghalang untuk skuad Malaysian Tigers untuk berada di depan apabila Razie menyumbat gol kedua pasukan pada minit ke-20.

Pasukan negara terus menambah dua lagi jaringan masing-masing menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sekali gus Malaysia berada di kedudukan selesa dengan kelebihan 4-1.

Walaupun perlawanan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat sebelum kembali bersambung sejam kemudian, skuad negara terus cemerlang menambah dua lagi gol dengan Shello Silverius dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan mencetak nama sebagai penjaring untuk perlawanan terbabit.

Razie terus menjadikan perlawanan petang tadi sebagai antara kenangan terindah buatnya apabila menyempurnakan hatrik dengan memastikan Malaysia mempunyai kelebihan tujuh gol.

Walaupun Afrika Selatan cuba merapatkan kedudukan dengan menambah gol kedua pasukan menerusi Connor Beauchamp namun belum cukup mampu untuk menggugat kedudukan Malaysia yang mengakhiri perlawanan dengan keputusan 7-2.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga kedua dengan tujuh mata manakala Korea Selatan terus unggul di tempat pertama menerusi 10 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 8:22 PM