Aksi pemain hoki negara pada perlawanan kumpulan B Sukan Asia Hangzhou 2022 menentang Indonesia di Stadium Gongshu Canal Sports Park. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aksi pemain hoki negara pada perlawanan kumpulan B Sukan Asia Hangzhou 2022 menentang Indonesia di Stadium Gongshu Canal Sports Park. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Rekod sempurna skuad hoki lelaki negara di Sukan Asia 2022 belum tergugat selepas mereka tidak berdepan masalah membelasah Indonesia 9-2 pada aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Park Stadium, sebentar tadi.

Ini adalah kemenangan ketiga-tiga berturut dilakar anak buah Arul Selvaraj pada kempen kali ini yang menyaksikan mereka berjaya meledak 29 gol dalam tiga aksi pertama namun bolos dua gol.

Pada aksi terbabit, Malaysia bermula garang apabila merobek gawang Indonesia seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani namun Indonesia mengikat kedudukan di hujung suku pertama menerusi gol padang Ahdan Asasi.

Bagaimanapun, Malaysia kembali mendahului di permulaan suku kedua hasil jaringan Muhammad Firhan Ashari (m17) disusuli pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan (m19) untuk meletakkan mereka selesa 3-1 sehingga tamat suku kedua.

Indonesia terus jauh ketinggalan memasuki suku ketiga apabila Malaysia merobek gawang lawan sebanyak lima kali masing-masing menerusi Faizal Saari (m33), Muhammad Najmi (m35) Shello dan Silverius (m38).

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m42) dan Razie Rahim (m43) turut mencetak nama selaku penjaring pada suku ketiga untuk Malaysia terus gah dengan keputusan 8-1.

Tidak cukup dengan lapan gol, 'Malaysian Tigers' menambah lagi derita Indonesia apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyumbat gol kesembilan menerusi pukulan sudut penalti (m48) sebelum Indonesia mendapat gol kedua menerusi pukulan penalti Aulia Al Ardh (m55).

Selepas ini, Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan bagi aksi penting yang dilihat bakal menjadi penentu kepada juara Kumpulan B, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 6:23 PM