MOHD Fared ketika ditemui pemberita selepas hadir mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. FOTO BERNAMA
MOHD Fared ketika ditemui pemberita selepas hadir mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Iskandar Puteri: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan meningkatkan pemantauan berhubung dakwaan penyebaran ajaran sesat di Ulu Tiram, Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah itu diambil bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara di negeri ini.

"Kita akan bagi tumpuan tambahan (di Ulu Tiram), tapi tidak bermaksud di lokasi lain kita kurangkan pemantauan," katanya kepada pemberita di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri dalam mengekang ajaran sesat di Johor.

Mohd Fared berkata sehingga kini, Jawatankuasa Khas JAINJ dan Jabatan Mufti Negeri Johor sentiasa memantau laporan daripada mana-mana pihak mengenai ajaran sesat di negeri ini.

"Memang ada jawatankuasa khas untuk memantau ajaran sesat melibatkan dua jabatan ini, semua keputusan akan dibawa kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor.

"Setiap laporan yang diterima akan disiasat dan disemak sebelum diputuskan sama ada ajaran terbabit songsang atau tidak. Jadi, orang awam jangan risau," katanya.

Ditanya mengenai bilangan madrasah yang terletak di kawasan Ulu Tiram, Mohd Fared memaklumkan terdapat empat madrasah beroperasi di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, Madrasah Abu Ayyub Al-Ansari dan Maahad Tahfiz Riyadhus Solihin berdaftar, manakala Maahad Tahfiz Ar-Rayyan dan Madrasah Al Quran Al Irsyad Sungai Tiram belum memperbaharui pendaftaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 8:49 PM