WAN Zack Haikal (kiri) menjaringkan gol kedua buat Perak FC pada perlawanan malam tadi. FOTO FB PERAK FOOTBALL CLUB
WAN Zack Haikal (kiri) menjaringkan gol kedua buat Perak FC pada perlawanan malam tadi. FOTO FB PERAK FOOTBALL CLUB
BERNAMA

Ipoh: Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menzahirkan kekecewaan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut pada saingan Liga Super 2024-25 musim ini.

Pasukan bimbingannya itu tewas 2-3 di gelanggang sendiri ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC malam tadi, hasil jaringan Ifedayo Olesegun pada minit ke-24, Bruno Suzuki pada minit ke-72, sebelum Ifedayo sekali lagi meledak gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Perak sebelum ini kecundang 1-3 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi sulung saingan sama pada Sabtu lepas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

"Saya akui kecewa dengan dua keputusan yang diperoleh Perak dalam dua perlawanan ini dan saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini serta tidak menyalahkan mana-mana pihak.

"Kita bermain di halaman sendiri dan menguasai perlawanan pada peringkat awal, namun akhirnya terleka sehingga membiarkan pasukan lawan menjaringkan gol," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Perak, malam tadi.

Yusri berkata, kealpaan selepas mendahului perlawanan dihukum dengan jaringan melalui serangan balas pasukan lawan.

Namun, beliau tetap positif dan menyasarkan meraih mata bagi dua perlawanan berikutnya menentang Kedah FC dan Selangor FC di tempat lawan.

Sementara itu, pengendali PDRM FC, P Maniam memuji persembahan pemainnya selepas berjaya menundukkan Perak di Ipoh.

"Walaupun pada awal permainan pasukan tuan rumah mula menguasai perlawanan serta membuat beberapa serangan, tetapi tidak mematahkan semangat pemain untuk beraksi dengan baik khususnya ketika serangan balas.

"Ini bukan tahap permainan PDRM yang sebenar dan kita akan perbaiki khususnya di bahagian pertahanan serta menajamkan serangan, saya yakin keputusan baik mampu dicapai pada perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 7:02 PM