Aksi sengit babitkan TNB (jersi merah biru) dan Maybank dalam saingan MHL
Aksi sengit babitkan TNB (jersi merah biru) dan Maybank dalam saingan MHL
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin percaya penentuan gelaran juara Liga Hoki Malaysia (MHL) bakal ditentukan pada perlawanan terakhir Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu pada 22 Mac ini.

Meskipun anak buahnya mengungguli kedudukan liga ketika ini dengan 27 mata ketika berbaki dua perlawanan, Nor Saiful tidak mahu barisan pemainnya berasa terlalu selesa.

TNB akan bertemu NurInsafi Sporting pada Rabu ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebelum berkunjung ke laman THT, 22 Mac ini.

Pada aksi semalam, TNB berjaya menewaskan seteru utama, Maybank 5-2 menerusi dua gol sumbangan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan satu jaringan masing-masing daripada Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Shahril Saabah dan Nik Muhammad Aiman bin Nik Rozemi.

"Perlawanan ini (dengan Maybank) tidak menentukan kejuaraan liga, sebaliknya saya pasti penentuan juara liga akan diheret sehingga perlawanan terakhir menentang THT.

"Itulah penentuannya dan kami sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik," kata Nor Saiful.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Maybank, Nor Saiful berkata, dia berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain walaupun pasukan gagal memanfaatkan peluang terutama di babak awal permainan.

"Kami sebenarnya gagal memanfaat peluang di awal permainan dan terpaksa menunggu sehingga suku kedua untuk jaringan. Namun saya berpuashati dengan prestasi pemain terutama apabila mempertahankan gawang ketika percubaan pukulan sudut lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 5:18 PM