Hangzhou: Seperti dijangka, skuad hoki negara tidak berdepan masalah membelasah Thailand 9-0 pada aksi pertama Kumpulan B Sukan Asia 2022 di Padang Hoki Gongshu Canal Sports Park, sebentar tadi.
Penguasaan penuh berjaya diperagakan anak buah Arul Selvaraj yang dilabel sebagai antara pasukan pilihan dalam Kumpulan B membolehkan mereka membuka kempen kali ini dengan langkah kanan.
Pada aksi itu, Thailand bertahan dengan baik di awal permainan dan berjaya menyerap asakan dengan tidak membenarkan Malaysia bergerak masuk ke dalam kawasan D mereka.
Namun mereka hanya 'kebal' selama lapan minit apabila Malaysia mendahului pada suku pertama menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Malaysia menyumbat satu lagi gol padang pada minit ke-21 menerusi penyudah dekat Firhan Ashari hadapan gol sebelum menutup suku kedua dengan gol padang ketiga oleh Nik Mohd Aiman Nik Rozemi.
Suku ketiga menyaksikan Malaysia terus mengganas dengan empat gol masing-masing menerusi Nik Mohd Aiman , Muhammad Azrai Aizad dan dua pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain.
Dua lagi gol dihasilkan pada suku keempat daripada Abdul Khaliq Hamirin dan Azmirul Azhar untuk Malaysia menoktahkan kemenangan bergaya 9-0 ke atas jiran Asean itu.
Selepas ini, skuad hoki negara akan berdepan Oman manakala Thailand akan menentang Korea Selatan di venue sama, Selasa ini.