AZRAI (kiri) cemerlang membantu skuad negara. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
AZRAI (kiri) cemerlang membantu skuad negara. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Syafiq Aznan


Hangzhou: Tonggak hoki negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul antara pemain negara yang menyerlah pada aksi pembukaan Kumpulan B Sukan Asia 2023 berdepan Thailand, semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu menyumbat dua gol bagi membantu 'Malaysian Tigers' membelasah Thailand 9-0 sekali gus membuka kempen dengan langkah kanan.

Pada aksi di Padang Hoki Gongshu Canal Sports Park itu, Azrai memulakan 'pesta gol' negara apabila membuka jaringan pada minit kelapan sebelum meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-34.

"Terima kasih pada rakan sepasukan yang banyak membantu saya. Jaringan ini sudah pasti akan meningkatkan lagi keyakinan saya bagi menghadapi kempen kali ini.

"Saya berharap dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang masuk ke final dan meraih pingat emas buat negara," katanya.

Sebagai rekod, pemain itu memiliki reputasi tersendiri apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (LHM) 2023 dengan 40 jaringan.

Selain itu, dia turut menjaringkan empat gol pada kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 yang menyaksikan skuad bimbingan Arul Selvaraj muncul naib juara di belakang India.

Selepas Thailand, skuad negara akan berdepan Oman pada perlawanan kedua Sukan Asia 2022 di venue sama, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 5:01 PM