Arul Selvaraj (kanan) mengendalikan sesi latihan skuad hoki negara. FOTO KHM
Arul Selvaraj (kanan) mengendalikan sesi latihan skuad hoki negara. FOTO KHM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selepas hampir dua tahun tanpa sebarang kejohanan antarabangsa, skuad hoki senior lelaki akhirnya akan diuji apabila dijadual ke London kira-kira sebulan bagi mengharungi Siri Jelajah United Kingdom 2021.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj itu dijadual berlepas pada 19 September ini dan berada di sana sehingga 22 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dalam kenyataannya berkata seramai 23 pemain akan menyertai siri jelajah itu termasuk tiga penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, lapan pemain di posisi tengah dan lima pemain di bahagian serangan.

Senarai itu turut menyaksikan tiga pemain yang sebelum ini membantu Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan iaitu Muhammad Shafiq Hassan (pertahanan), Shello Silverius (penyerang) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (penyerang) berada dalam skuad senior dan akan kekal berada dalam kelompok itu sehingga sesi pemilihan baharu.

"Sebanyak 11 perlawanan diatur buat skuad negara sepanjang keberadaan mereka di sana. Ini termasuk empat perlawanan menentang pasukan kelab dan tujuh perlawanan menentang pasukan kebangsaan seperti Ireland, Wales, dan Perancis," katanya.

Selain itu, menurutnya, perlawanan ini juga akan digunakan oleh Arul bagi menilai prestasi skuad Speedy Tigers termasuk melihat di mana tahap pasukannya berada setakat ini.

Katanya, siri Jelajah United Kingdom ini juga turut dijadikan sebagai salah satu siri persediaan skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 yang juga perlawanan kelayakan Hoki Piala Dunia 2023.

Senarai 23 pemain ke Siri Jelajah United Kingdom 2021:

Penjaga gol: Muhammad Hafizuddin Othman, Adrian Andy Albert, Mohammad Hairi Abdul Rahman

Pertahanan: Muhammad Razie Abdul Rahim, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Aminuddin Mohd Zain, Muhammad Azri Hassan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Shafiq Hassan

Tengah: Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Faiz Helmi Jali, Muhamad Ramadan Rosli, Mohamad Ashran Hamsani, Meor Muhammad Azuan Hassan, Zulpidaus Mizun, Muhammad Najib Abu Hassan, Faizal Saari

Penyerang: Norsyafiq Sumantri, Muhammad Firhan Ashaari, Muhammad Shahril Saabah, Shello Silverius, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:32 PM