NURAMIRAH  meraikan gol kemenangan  di Stadium Hoki Seremban 2.  FOTO Azrul Edham
NURAMIRAH meraikan gol kemenangan di Stadium Hoki Seremban 2. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) selepas menewaskan KPT-Uniten Thunder, 2-1 di Stadium Hoki Seremban 2, lewat petang tadi.

Jaringan Fatin Naimah Zaki pada minit ketiga dan Nuramirah Shakirah Zulkifli minit ke-42 perlawanan, sudah memadai buat skuad bimbingan K Rajan menafikan kehebatan pasukan lawan sekali gus mempertahankan kejuaraan liga berkenaan.

Meskipun menerima tentangan sengit daripada KPT-Uniten terutama selepas pelawat menyamakan kedudukan menerusi Nur Zafirah Aziz pada minit ke-8, pemain Negeri Sembilan cekal mengekang asakan lawan.

Rajan ketika ditemui selepas perlawanan, ternyata gembira dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya apabila mereka menggandakan kekuatan dan beraksi mengikut taktikal yang dirancang.

"Saya puas hati dengan komitmen semua pemain hari ini kerana mereka beraksi seperti dirancang walaupun jentera serangan kita sedikit terjejas kerana tidak dapat menurunkan Hanis Nadiah Onn yang belum pulih dari kecederaan.

"Tapi, saya puji penjaga gol kita, Mashita yang berjaya menyelamatkan banyak percubaan penyerang KPT-Uniten. "Perlawanan hari ini dilihat sengit kerana Negeri Sembilan memerlukan kemenangan berbanding lawan hanya perlukan seri, tapi pemain saya berjaya melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang," kata bekas pemain kebangsaan itu yang turut membawa pasukan berkenaan menjulang Piala Sumbangsih 2023, baru-baru ini.

Sementara itu, Nuramirah Shakirah yang muncul penjaring terbanyak saingan liga musim ini dengan 16 gol, ternyata gembira kerana jaringan itu membawa Negeri Sembilan mempertahankan kejuaraan.

"Syukur Alhamdulillah, saya dapat menjaringkan gol penting untuk pasukan. Kejayaan ini hasil kerjasama semua pemain dan barisan pegawai pasukan," kata pemain kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 9:23 PM