AKSI pemain Negeri Sembilan (jersi kuning) ketika menentang Young Tigress, semalam. FOTO ihsan Persatuan Hoki Negeri Sembilan.
AKSI pemain Negeri Sembilan (jersi kuning) ketika menentang Young Tigress, semalam. FOTO ihsan Persatuan Hoki Negeri Sembilan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad hoki wanita Negeri Sembilan yakin dapat mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 meskipun tewas kepada Young Tigress, 3-4, di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.

Jurulatih pasukan itu, K Rajan berkata, skuad bimbingannya kekal positif untuk meneruskan cabaran dalam misi merealisasikan sasaran mempertahankan kejuaraan liga musim ini.

"Kami kekal positif dengan sasaran ditetapkan untuk mempertahankan kejuaraan liga.

"Walaupun gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas kepada Young Tigress, peluang untuk menjulang kejuaraan liga musim ini belum tertutup.

"Saya yakin pemain Negeri Sembilan akan bangkit dengan persembahan lebih mantap pada baki tiga perlawanan selepas ini untuk mengumpul mata maksimum," katanya.

Rajan berkata, penyerang utama, Hanis Nadiah Onn hanya dapat beraksi sekitar 10 minit kerana kurang cergas dan ketiadaannya ternyata memberi impak terhadap jentera serangan pasukan.

Berikutan kekalahan semalam, Negeri Sembilan kini turun di tempat kedua liga dengan 14 mata manakala KPT-Uniten Thunder, yang belum tewas melonjak ke tempat pertama selepas membelasah Mutiara Impian, 9-0, untuk mengumpul 17 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 9:16 PM