PEMAIN skuad NS Girls tetap ceria walaupun tewas kepada KPT-United Thunderbolts, 1-2,dalam perebutan Piala Vivian May Soars 2022, di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam ini. FOTO PHNS
PEMAIN skuad NS Girls tetap ceria walaupun tewas kepada KPT-United Thunderbolts, 1-2,dalam perebutan Piala Vivian May Soars 2022, di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam ini. FOTO PHNS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jaringan Siti Nur Arfah Mohd Nor pada separuh masa kedua meranapkan impian Negeri Sembilan (NS) Girls untuk bergelar juara, apabila tewas kepada KPT-Uniten Thunderbolts, 1-2, dalam aksi final saingan Piala Vivian May Soars 2022, di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam ini.

Biarpun NS Girls berjaya mendahului lawan menerusi jaringan Liyana Aqilah Mohd Sepawi pada minit ke-9, namun ia tidak bertahan lama apabila KPT-Uniten bangkit pada separuh masa kedua permainan.

Siti Nur Arfah menjaringkan gol kemenangan itu pada minit ke-44, selepas rakannya Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad (KPT-Uniten) menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Kapten NS Girls, Noraini Abd Rashid berkata, kegagalan meneruskan rentak terbaik terutama pada separuh masa kedua dan menyekat serangan penyerang lawan, membuatkan pasukannya menerima padah.

Menurutnya, ketiadaan ketua jurulatih, K Rajan yang sedang dikuarantin kerana dijangkiti pandemik Covid-19, ternyata memberi kesan kepada emosi dan mental pemain ketika saingan diberikan oleh KPT-Uniten begitu sengit dan mencabar.

"Kami melakukan beberapa kesilapan terutama pada separuh masa kedua hingga memberi peluang kepada pemain lawan untuk menjaringkan gol kemenangan, walaupun pada peringkat awal kami berjaya menguasai permnainan.

"Ketiadaan ketua jurulatih (Rajan) bersama pasukan malam ini menganggu rentak pemain sekali gus memberi ruang kepada lawan mengambil kesempatan yang akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol kemenangan pada penghujung babak.

"Secara peribadi, saya rasa terkilan dan kecewa di atas kegagalan dalam perlawanan malam ini, ketika kami sudah menguasai permainan dan hampir mencipta kejutan," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, ia adalah kekalahan pertama dialami NS Girls dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini selepas pasukan berjaya mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang saingan liga hingga menobatkan mereka sebagai juara baharu LHM.

"Kekalahan kami malam ini juga memadamkan rekod tanpa kalah pasukan musim ini manakala KPT-Uniten pula dapat menebus kekalahan mereka 0-1 ketika dalam liga tempohari.

"Biarpun rasa kecewa kerana gagal mencipta sejarah, namun kejuaraan Liga LHM yang kami capai tahun ini tetap bermakna kerana ia dicapai pada penyertaan sulung kami dalam liga kebangsaan ini," katanya.

Selaku juara Liga LHM, NS Girls meraih hadiah wang tunai ARM30,000 dan selaku naib juara Piala Vivian May Soars 2022 pula, mereka meraih RM10,000 manakala Nuramirah Shakirah Zulkifli, muncul selaku penjaring terbaik dengan 23 gol dan meraih hadiah RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 11:02 PM