SKUAD NS Girls bakal menanti kunjungan KPT-Uniten Thunderbolts pada aksi MHL 2022 di Seremban 2, Isnin nanti. FOTO Mohd Amin Jalil
SKUAD NS Girls bakal menanti kunjungan KPT-Uniten Thunderbolts pada aksi MHL 2022 di Seremban 2, Isnin nanti. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pertembungan antara pendahulu carta Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022, Negeri Sembilan (NS) Girls dengan pasukan tempat kedua, KPT-Uniten Thunderbolts, Isnin ini mungkin diibaratkan sebagai pertemuan buku dengan ruas.

Ini kerana kedua-dua pasukan itu sedang memimpin carta MHL dengan masing-masing mengumpul 19 mata di mana yang membezakan mereka adalah jumlah jaringan.

NS Girls bakal menanti kunjungan KPT-Uniten Thunderbolts dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Hoki Seremban 2, petang Isnin nanti.

Kapten NS Girls, Nuraini Abdul Rashid, akui pertembungan itu nanti adalah sengit kerana masing-masing sudah pasti akan berusaha mempertahankan kedudukan terkini dalam carta.

"Pasukan KPT-Uniten Thunderbolts sudah pasti mahu mengalahkan kami untuk memintas di kedudukan pendahulu carta, namun kami akan berusaha keras mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus menyekat kemaraan pasukan lawan.

"Kelebihan beraksi di laman sendiri akan digunakan sebaiknya untuk melakar kemenangan ketujuh musim ini dan saya yakin rakan-rakan sedang memberi fokus kepada perlawanan penting itu dengan misi mendapatkan kemenangan," katanya hari ini.

Menurut Nuraini, NS Girls perlu meneruskan rentak kemenangan bagi menjamin misi menjulang kejuaraan liga musim ini dapat direalisasikan.

"Dengan berbaki tiga perlawanan lagi, kami tidak boleh kehilangan mata atau sekadar mencatatkan keputusan seri, sebaliknya perlu kekalkan kemenangan untuk memastikan impian merangkul kejuaraan liga tidak tersasar," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan akui perlawanan menentang KPT-Uniten Thunderbolts itu nanti dianggap paling mencabar buat NS Girls kerana pasukan lawan itu adalah pencabar terkuat dalam liga kali ini.

Beliau bagaimanapun yakin skuad bimbingan K Rajan itu mampu merangka strategi terbaik dan taktikal mantap untuk menafikan kemaraan pasukan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 7:50 PM