NEGERI Sembilan (jersi merah) menewaskan CS Hockey Team, 4-1. FOTO Ihsan Persatuan Hoki Negeri Sembilan.
NEGERI Sembilan (jersi merah) menewaskan CS Hockey Team, 4-1. FOTO Ihsan Persatuan Hoki Negeri Sembilan.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad hoki Wanita Negeri Sembilan kembali mendapat rentak kemenangan apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas CS Hockey Team, 4-1, dalam kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2023, di Stadium Hoki Seremban 2, lewat petang tadi.

Tampil dengan semangat baharu selepas tewas kepada Young Tigress, 3-4, pada aksi terdahulu di Bukit Jalil, skuad bimbingan K Rajan itu kali ini ternyata lebih yakin dengan persembahan apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi kapten pasukan, Noraini Abdul Rashid.

Bagaimanapun dalam satu serangan balas pantas, pelawat kemudian berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi jaringan Nur Amirah Jasmi Apindi pada minit ke-12.

Anak buah Rajan dilihat terus mendominasi perlawanan apabila menambah tiga gol lagi menerusi gandingan pemain kebangsaan Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-15 dan 39 serta Noraini pada minit ke-50.

Meskipun CS Hockey Team cuba bangkit pada babak kedua dan penghujung saingan namun gagal menembusi bahagian pertahanan Negeri Sembilan.

Rajan ternyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan keputusan perlawanan apabila pemain beraksi seperti yang dirancangkan.

"Pemain beraksi mengikut taktikal yang kita rancangkan dan ternyata mereka dapat menguasai permainan dengan baik.

"Saya puas hati dengan komitmen semua pemain dan kemenangan hari ini amat bermakna dalam misi kita untuk mengekalkan kejuaraan liga musim ini," katanya selepas perlawanan.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Negeri Sembilan di tangga kedua carta dengan 17 mata, selepas pencabar utama KPT-Uniten turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) dalam satu perlawanan berasingan di Kuala Terengganu dengan mengumpul 20 mata.

Selepas ini, Negeri Sembilan bakal menentang Mutiara Impian dalam aksi di tempat lawan, Rabu ini, sebelum aksi terakhir menentang KPT-Uniten di laman sendiri, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 9:28 PM