SKUAD hoki wanita Negeri Sembilan ketika menjuarai LHWM, baru-baru ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
SKUAD hoki wanita Negeri Sembilan ketika menjuarai LHWM, baru-baru ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berjaya merangkul dua kejuaraan, pemain pasukan hoki wanita Negeri Sembilan (NS) diharap tidak melepaskan peluang untuk mencipta sejarah apabila bertemu KPT-Uniten Thunder dipentas final Piala Vivian May Soars 2023, esok.

Pertembungan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang esok dijangka sengit kerana Negeri Sembilan baru sahaja menewaskan pasukan sama pada perebutan kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2023, baru-baru ini.

Kini, pasukan bimbingan K Rajan itu bakal turun menentang KPT-United sekali lagi dalam usaha untuk mencipta kejuaraan treble musim ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan mahu pemain pasukan itu menggunakan peluang terbaik yang diperoleh untuk melakar sejarah tersendiri memenangi pertembungan berkenaan.

"Pemain Negeri Sembilan perlu menggunakan peluang terbaik ini untuk mencipta sejarah merangkul kejuaraan treble kerana pasukan yang layak ke pentas final adalah pasukan sama yang ditemui pada final liga baru-baru ini.

"Saya berharap pemain tidak mensia-siakan peluang ini kerana buat kali pertama tahun ini tiga piala dipertandingkan berbanding musim sebelum ini hanya dua piala.

"Jadi, pemain perlu terus kekal fokus dan bersedia memberikan persembahan cemerlang pada perlawanan penentuan petang esok," katanya di sini, hari ini.

Pada pentas final bagi merebut kejuaraan LHWM baru-baru ini, Negeri Sembilan menewaskan KPT-Uniten Thunder, 2-1, dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Seremban 2.

Menurut Tamil, berpandukan perlawanan dengan KPT-Uniten sebelum ini, anak buah Rajan perlu memberikan komitmen 100 peratus selain berusaha mengurangkan kesilapan terutama dalam kawasan D.

"Saya lihat kekuatan KPT-Uniten adalah pada jentera serangan, mereka pantas melarikan bola selain kebijaksanaan mereka mengambil pukulan sudut penalti.

"Saya berharap pemain Negeri Sembilan berhati-hati dalam perkara ini dan tidak mudah leka," katanya.

Sementara itu, penjaga gol Negeri Sembilan Mashitah Ab Khalid, berjanji untuk mengulangi prestasi cemerlangnya ketika mempertahankan gawang pasukan itu pada final LHWM baru-baru ini.

"Saya akan berusaha mempertahankan gawang pasukan daripada bolos kerana ia perlawanan penting bagi kami dan mahu kekalkan kemenangan ke atas KPT-Uniten seterusnya memenangi perlawanan bagi menjulang trofi utama itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 3:54 PM