SKUAD hoki wanita Negeri Sembilan mahu memulakan cabaran Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2023 dengan memenangi Piala Sumbangsih. FOTO Ihsan PHNS
SKUAD hoki wanita Negeri Sembilan mahu memulakan cabaran Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2023 dengan memenangi Piala Sumbangsih. FOTO Ihsan PHNS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad hoki wanita Negeri Sembilan berhasrat melakar sejarah tersendiri dengan menjulang Piala Sumbangsih Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, 9 Februari ini.

Selepas berjaya muncul juara Liga Hoki Malaysia (Wanita) tahun lalu, skuad berkenaan berazam untuk memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan apabila menentang pasukan KPT-Uniten Thunderbolts, pada aksi pembukaan itu nanti.

Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan berkata, PHNS sudah menyediakan sebuah pasukan yang mantap bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.

Menurutnya, selain mengekalkan sebahagian besar pemain berpengalaman musim lalu, pihaknya turut membawa masuk lima pemain muda berikutan terdapat kalangan mereka yang terbabit dengan Liga Hoki Remaja Kebangsaan.

"Setakat ini, persiapan pasukan hoki Negeri Sembilan berjalan lancar dan kini sudah bersedia untuk memulakan cabaran musim ini dengan permulaan perebutan Piala Sumbangsih bertemu KPT-Uniten Thunderbolts pada 9 Februari ini.

"Disebabkan piala ini baharu diperkenalkan tahun ini, kita berhasrat untuk mencipta sejarah dengan memenanginya dan kita yakin dengan prestasi serta kemampuan pasukan, hasrat itu bukan mustahil untuk dicapai.

"Malah, menerusi gandingan pemain berpengalaman musim lalu, saya yakin dan percaya mereka sudah bersedia untuk memulakan cabaran dengan baik serta mampu meraih pencapaian lebih membanggakan tahun ini," katanya di sini, hari ini.

Tamil berkata, pemain kebangsaan Noraini Abdul Rashid, sekali lagi bakal menggalas tanggungjawab selaku kapten pasukan.

Menurutnya, pemain lain yang turut berada dalam skuad berkenaan kali ini termasuk Nuramirah Shakirah Zulkifli, Hanis Nadiah Onn, Nur Syuhada Shuhaimi, Nur Afiqah Syahzani Azhar, Fatin, Shafika Mahd Sukrie, Farah Ayuni Yahya, Ellya Syahirah Ellias dan Fatin Naimah Zaki.

"Saya mengharapkan semua pemain dapat mempertahankan reputasi pasukan sepanjang saingan musim ini dan seterusnya mencipta pencapaian lebih baik," katanya.

Sementara itu, Noraini melahirkan keyakinannya untuk bersama rakan-rakan dalam misi menjulang nama pasukan pada TNB MHL 2023 ini.

Dia berazam untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan meneruskan persembahan seperti mana yang diterjemahkan musim lalu.

"Kami akan berusaha mempertahankan kedudukan pasukan selaku pencabar terkuat dalam liga kali ini dan kami akan berusaha mendapatkan trofi sumbangsih ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 4:54 PM