PEMAIN Negeri Sembilan meraikan jaringan ketika menewaskan Sabah, semalam. FOTO ihsan PHNS.
PEMAIN Negeri Sembilan meraikan jaringan ketika menewaskan Sabah, semalam. FOTO ihsan PHNS.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Biarpun sedar masih banyak lagi cabaran yang bakal dihadapi namun Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) ternyata berpuas hati dengan persembahan pasukan Negeri Sembilan (NS) Girls dalam mengharungi kempen TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 (Wanita), setakat ini.

Setiausaha Kehormat PHNS, Tamil Selvan berkata, pihaknya bangga dengan komitmen tinggi pemain skuad berkenaan yang memperagakan persembahan memberangsangkan apabila berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

"Kejayaan membenam pasukan Mutiara Impian MSSPP-PSHA, 8-0 pada aksi pembukaan dan kemudian membelasah Sabah, 5-0, semalam, adalah suatu keputusan yang diluar jangka tapi membanggakan.

"Walaupun tampil kali pertama dalam liga berprestij kebangsaan itu, namun pemain Negeri Sembilan menunjukkan komitmen dan kesungguhan tinggi dalam usaha menjulang nama pasukan.

"Kami (PHNS) puas hati dengan persembahan dan pencapaian mereka setakat ini dan mengharapkan mereka dapat mengekalkan momentum kemenangan itu dalam aksi seterusnya," katanya.

Menurut Tamil, skuad bimbingan K Rajan itu bakal membuat perhitungan dengan pasukan KPT-Uniten Thunderbolts, dalam perlawanan ketiga, esok.

Beliau percaya pertembungan itu nanti bakal menjanjikan saingan sengit kerana lawan bukan calang pasukan.

"Saya anggap pertembungan dengan KPT-Uniten Thunderbolts esok, adalah lebih sukar dan sengit kerana lawan lebih berpengalaman berbanding Negeri Sembilan dibarisi ramai pemain muda.

"Namun tidak mustahil Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk mendapatkan tiga mata, andai pemain dapat mengekalkan persembahan terbaik seperti mana dipamerkan dalam dua perlawanan sebelum ini,' katanya.

Tambahnya, pemain diharap dapat turun dengan berhati-hati dalam memastikan setiap perancangan disusun jurulatih dapat diterjemahkan dengan baik di atas padang.

"Pemain perlu kekal fokus sepanjang tempoh perlawanan dan pastikan setiap peluang jaringan tidak disia-siakan.

"Pasukan perlu kekalkan kemenangan yang dicapai untuk terus mendominasi carta saingan ini," katanya.

NS Girls dibarisi beberapa pemain berpengalaman antaranya Noraini Abdul Rashid yang bertindak selaku kapten, selain Nuramirah Shakirah Zulkifli, Hanis Nadiah Onn, Nur Syuhada Shuhaimi, Nur Afiqah Syahzani Azhar, Shafika Mahd Sukrie, Farah Ayuni Yahya, Ellya Syahirah Ellias dan Fatin Naimah Zaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 4:45 PM