Fadlina Sidek.
Fadlina Sidek.
Noorazura Abdul Rahman


Arau: Kementerian Pendidikan menegaskan tidak timbul isu kelewatan menaik taraf sekolah daif di negara ini berikutan ia dilakukan mengikut giliran dan jadual yang ditetapkan kerajaan.

Menterinya, Fadlina Sidek berkata kerajaan sangat komited memastikan akses pendidikan terbaik untuk murid di negara ini dan proses menambahbaik sekolah usang dilakukan secara berterusan.

"Semua projek adalah mengikut tempoh masa yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR), jadi tak timbul isu ini, ia sebenarnya dipantau ketat, kita ada 'dashboard' kita untuk pantau sekolah daif ini.

"Insya-Allah semuanya akan kita pastikan siap mengikut garis masa yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi agar KPM menghapuskan segala birokrasi yang menyulitkan, sebaliknya segera menyelesaikan isu sekolah daif.

Mohd Puad yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan mengeluarkan kenyataan itu di Facebook beliau semalam bagi mengulas berhubung 14 sekolah daif di negeri Johor yang sudah diluluskan peruntukan bagi kerja menaik taraf sejak 2021 tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini.

Fadlina berkata sehingga Mac tahun ini sebanyak 694 sekolah daif di bawah kementerian sudah disiapkan sepenuhnya.

Katanya, sebanyak 216 projek lagi kini berada dalam peringkat prabina.

"Lebih 600 daripada 1,000 sekolah sudah diselesaikan. Jadi proses itu sentiasa kita tambah baik dari semasa ke semasa, sebab itu apabila Kerajaan Madani mengambil alih kerajaan, ini tumpuan utama kita dalam menyelesaikan isu sekolah daif yang tidak pernah diselesaikan secara berfokus sebelum ini.

"Kita bekerja dengan sangat pantas dengan kerjasama daripada agensi yang lain dan insya-Allah kita akan siapkan semua projek tersebut sebagaimana komitmen kita di peringkat Persekutuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPM sentiasa mencari jalan untuk memberi motivasi dan intervensi untuk mengatasi masalah keciciran pelajar.

Katanya ia termasuk memastikan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus berminat untuk meneruskan pelajaran mereka di peringkat tertinggi.

Ahad lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata sebanyak 14 sekolah dikategorikan sekolah daif di negeri itu sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki, tetapi selepas tiga tahun tiada satu pun projek berjaya disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:32 PM