PEMAIN dan pegawai pasukan hoki wanita Negeri Sembilan ceria selepas mencipta sejarah muncul pasukan pertama memenangi treble musim ini. FOTO Ihsan Persatuan Hoki NS
PEMAIN dan pegawai pasukan hoki wanita Negeri Sembilan ceria selepas mencipta sejarah muncul pasukan pertama memenangi treble musim ini. FOTO Ihsan Persatuan Hoki NS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) melahirkan rasa bangga di atas kejayaan Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan yang berjaya melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara treble tahun ini.

Presiden PHNS, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), pasukan bimbingan K Rajan itu juga memenangi Piala Sumbangsih 2023, yang baru diperkenalkan tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, kejayaan ketiga yang dikuasai Negeri Sembilan musim ini ialah memenangi Piala Vivian May Soars selepas menewaskan KPT-Uniten Thunder, 3-2 menerusi penalti 'shootout', petang semalam.

"Kemenangan yang dicapai pada perlawanan semalam sekali gus dapat menebus kekecewaan musim lalu selepas kita terlepas merangkul Piala Vivian May Soars.

"Walaupun berhadapan perlawanan yang getir, tapi pemain berjaya mengimbangi kekuatan pasukan lawan hasil kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi.

"Pencapaian ini membuktikan sasaran yang kita tetapkan berjaya direalisasikan mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada pertembungan di pentas final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang semalam, menyaksikan Negeri Sembilan terikat 1-1 dengan KPT-United sehingga akhir perlawanan.

Bagaimanapun Negeri Sembilan akhirnya muncul juara apabila memperolehi 3 gol berbalas 2 dalam penalti 'shootout'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 6:24 PM