Zubir bersama rakan-rakan India.
Zubir bersama rakan-rakan India.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya menyanyikan lagu Tamil sejak 2018 dan tak sangka Yennode Macha bukan sahaja diterima oleh masyarakat India, malah turut mendapat sambutan orang Melayu," kata Muhmmad Zubir Mohamad Ali, 24 atau lebih dikenali Zubir Khan.

Malah katanya, ramai tidak menjangka lagu bahasa Tamil yang kian popular selepas tular itu dinyanyikan penyanyi berbangsa Melayu.

Zubir berkata, lagu itu terlebih dahulu popular dalam kalangan masyarakat India sebelum mendapat sambutan peminat Melayu.

"Pada Mac lalu saya memuat naik video menyanyikan lagu Yennode Macha di TikTok. Sejak itu, lagu ini mendapat perhatian orang Melayu dan mulai tular.

"Sejujurnya, saya tak menjangka lagu ini boleh tembus pasaran muzik Melayu. Sebelum ini, semua lagu saya hanya popular dalam kalangan orang India saja. Sejak itu juga barulah ramai yang tahu saya sebenarnya orang Melayu.

"Apa pun, saya nak berterima kasih kepada peminat India kerana tanpa mereka saya tidak akan sampai ke pasaran muzik komersial macam sekarang. Saya juga bersyukur kerana lagu ini mendapat maklum balas yang baik daripada semua pihak.

"Malah, sekarang orang sudah lebih kenal. Malah, siap panggil Macha. Saya okay saja sebab ia lebih pada panggilan mesra dan santai. Contohnya 'bro'," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang juga berdarah kacukan Melayu-Pakistan berkata, dia mula menyanyikan lagu-lagu Tamil sejak 2018 menerusi persembahan di majlis orang kahwin dan rakaman semula atau 'cover version'.

Menurutnya, dia fasih berbahasa Tamil kerana berkawan dengan orang India selain pernah menetap di kawasan estet di Ladang Sepang Valley.

"Saya sudah menyanyi lagu Tamil sejak 2018. Ketika itu saya 'cover' lagu Tamil. Sebelum itu juga saya menyanyi di majlis orang kahwin dengan menyanyikan lagu Tamil, India dan Urdu. Kawan-kawan India pun ada cakap, kalau nak fasih lagi kena nyanyi lagu Tamil.

"Kemudian, pada 2019 saya buat lagu sendiri berjudul Per Yenne Solle yang dihasilkan oleh Santesh dan lirik oleh saya. Lagu ini juga pernah trending.

"Setakat ini saya sudah ada tujuh lagu Tamil. Insya-Allah, akan datang saya juga nak merakamkan lagu Melayu," katanya.

Menurutnya, lagu Yennode Macha adalah ciptaannya sendiri mengisahkan mengenai persahabatan.

"Lagu ini saya hasilkan tahun lepas. Saya memang nak buat lagu mengenai persahabatan yang juga merujuk kepada perhubungan saya dengan rakan-rakan India. Menerusi lagu ini saya nak sampaikan yang mana persahabatan itu adalah bersifat universal," katanya.

Ditanya mengenai keadaan fizikalnya, Zubir yang juga anak bongsu berkata, tangan kanannya itu terpotong akibat terkena mesin membuat roti ketika berusia empat tahun.

"Sebelum ini saya memang sorok kecacatan ini dengan beg sebab kebanyakan orang kita berasa pelik bila orang tak ada tangan. Satu hari tu, saya beranikan diri tunjuk. Sejak itu, saya tidak sorok lagi.

"Memang ramai yang bertanya, tapi saya okay saja. Tangan saya ini termasuk dalam mesin di kilang roti milik ayah sehingga terpotong pada 2004," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:02 PM