SIMON Harris (tengah), Menteri Luar Ireland, Michel Martin (kanan) dan Menteri Pengangkutan Ireland, Eamon Ryan (kiri) pada sidang media mengumumkan pengiktirafan kenegaraan Palestin, di Dublin. FOTO AFP
SIMON Harris (tengah), Menteri Luar Ireland, Michel Martin (kanan) dan Menteri Pengangkutan Ireland, Eamon Ryan (kiri) pada sidang media mengumumkan pengiktirafan kenegaraan Palestin, di Dublin. FOTO AFP
AFP

Madrid: Tiga negara Eropah iaitu Norway, Ireland dan Sepanyol masing-masing mempunyai alasan dalam mengiktiraf kenegaraan Palestin mulai 28 Mei depan.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang melawat beberapa negara untuk mendapatkan sokongan bagi pengiktirafan berkata, langkah itu akan mengukuhkan usaha untuk memulihkan penyelesaian dua negara kepada konflik di Timur Tengah.

Menurut Sanchez, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjejaskan usaha itu dengan serangan ke atas Gaza yang mengakibatkan kemusnahan sejak 7 Oktober lalu.

"Melawan pejuang Hamas adalah sah dan perlu selepas 7 Oktober, tetapi Netanyahu menyebabkan kesakitan, kemusnahan dan kebencian di Gaza dan seluruh Palestin sehingga penyelesaian dua negara berada dalam bahaya," kata Sanchez kepada Parlimen.

Sementara itu, Norway yang memainkan peranan penting dalam diplomasi Timur Tengah, menganjurkan rundingan damai Israel-Palestin pada 1990-an yang membawa kepada Perjanjian Oslo berkata, pengiktirafan diperlukan untuk menyokong suara sederhana di tengah perang Gaza.

"Di tengah peperangan... kita mesti mengekalkan satu-satunya alternatif yang menawarkan penyelesaian politik untuk Israel dan Palestin, dua negara, hidup berdampingan, dalam keamanan dan keselamatan," kata Perdana Menteri Norway, Jonas Gagr Store, sambil menambah bahawa langkah itu (pengiktirafan Palestin) boleh memberi momentum baharu untuk rundingan damai.

Perdana Menteri Ireland, Simon Harris pula membuat persamaan langkah itu dengan pengiktirafan antarabangsa terhadap negaranya pada 1919.

"Daripada sejarah kita sendiri, kita tahu apa maksudnya," katanya merujuk kepada pengisytiharan kemerdekaan Ireland daripada pemerintahan British, yang akhirnya membawa kepada negara rasmi.

Terdahulu, Ireland, Norway dan Sepanyol membuat keputusan untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara secara rasmi pada 28 Mei depan,

Keputusan itu mendapat pujian daripada banyak negara Arab dan negara Islam.

Pertubuhan Pembebasan Palestin memuji langkah itu sebagai bersejarah, manakala pemerintah Gaza, Hamas memujinya sebagai usaha penting yang terhasil daripada penentangan berani rakyat Palestin.

Ketiga-tiga negara itu berharap yang lain (negara) akan mengikut jejak langkah, tetapi Perancis menyatakan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:35 PM