PEJABAT Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Brickfield. FOTO Arkib NSTP
PEJABAT Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Brickfield. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJ) memandang serius tindakan ahli politik yang didakwa menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita bahasa Tamil.

Setiausaha Agung NUJ, Teh Athira Mohamed Yusof berkata, pihaknya amat prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan wartawan yang terbabit iaitu P Puvaneswaran dan M Pavalam, serta seluruh komuniti wartawan Tamil.

"Kami juga ingin menyuarakan solidariti bersama rakan seperjuangan, Persatuan Wartawan India Malaysia (MIJA) yang sedang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ekoran beberapa wartawan portal Tamil dikatakan menjadi mangsa serangan fitnah oleh pemimpin dan ahli politik.

"Kami menyeru Menteri Komunikasi untuk mengambil perhatian terhadap perkara ini dan mengambil tindakan segera untuk menghentikan sebarang bentuk serangan peribadi terhadap wartawan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kebebasan media dan keselamatan wartawan harus dilindungi demi memastikan laporan berita yang adil dan bebas dapat terus dijalankan.

"Kami juga menggesa semua pihak untuk menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis dan mengharapkan proses yang adil dan saksama diberikan kepada rakan seperjuangan kami atas kejadian menimpa mereka.

"NUJ akan terus memantau perkembangan ini dan memberikan sokongan penuh kepada wartawan yang terjejas. Marilah kita bersama-sama memastikan bahawa integriti kewartawanan dan kebebasan media di Malaysia terus terpelihara," katanya.

Terdahulu, seorang pemilik akhbar Tamil tempatan didakwa menerbitkan artikel berbaur fitnah selain membuat ugutan saman ke atas pemberita akhbar dan portal Tamil.

Presiden Persatuan Wartawan India Malaysia (MIJA) Gunalan Maniam berkata, pihaknya menyatakan kekecewaan apabila tiga portal media Tamil dihantar notis saman oleh seorang pemimpin wanita dari parti politik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:01 PM