ANTARA aksi KPT-Uniten Thunderbolts bertemu Sabah di saingan separuh akhir, semalam. -FOTO MHC
ANTARA aksi KPT-Uniten Thunderbolts bertemu Sabah di saingan separuh akhir, semalam. -FOTO MHC
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tidak sanggup melihat Negeri Sembilan menjulang gelaran berganda, KPT-Uniten Thunderbolts mahu mengecewakan lawan mereka itu apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi final Piala Vivian May Soars esok, gelaran untuk menentukan juara keseluruhan Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita.

KPT-Uniten Thunderbolts dikecewakan oleh Negeri Sembilan yang muncul juara liga apabila sekadar berpuas hati di tempat kedua selepas rekod pertemuan menyaksikan mereka tewas sekali dan seri sekali.

Negeri Sembilan melangkah ke pentas final Piala Vivian May Soars selepas menewaskan National Development Team (NDT) menerusi agregat 13-1 pada dua aksi separuh akhir manakala KPT-Uniten Thunderbolts menewaskan Sabah dengan agregat 6-0.

Kedua-dua pasukan bakal turun dengan kekuatan maksimum dan strategi tersendiri dengan Negeri Sembilan dilihat memiliki sedikit kelebihan sekiranya keputusan pertemuan lalu diambil kira.

"Memang rekod sebelum ini kami tewas sekali dan seri sekali dengan Negeri Sembilan tetapi dalam final, apa saja boleh berlaku.

"Saya puas hati dengan prestasi pemain ketika menewaskan Sabah, tetapi ujian sebenar ialah menentang Negeri Sembilan di final nanti dan saya harap pemain akan terus fokus.

"Kami akan menganalisa video dan merangka strategi yang ampuh untuk mengekang pergerakan barisan penyerang merbahaya seperti Hanis Nadiah Onn pada final nanti," kata pengendali KPT-Uniten Thunderbolts, Lailin Abu Hassan.

Sementara itu, penolong jurulatih Negeri Sembilan, Mohammad Nazrin Yahya lega kerana semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan menjelang aksi final.

"Kami akan buat sehabis baik dan pemain tahu tanggungjawab masing-masing serta sasaran kami untuk menang kedua-dua piala musim ini.

"KPT-Uniten Thunderbolts juga mempunyai senjata bahaya untuk menidakkan peluang kami, terutama kemampuan melakukan serangan balas yang pantas.

"Yang penting ialah pemain sentiasa fokus dan tidak sia-siakan sebarang peluang di depan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 2:42 PM