Rampasan beg bagasi yang menyimpan dadah jenis syabu 2,000 gram dan 10 gram pil ekstasi yang bernilai RM64,700 pada sidang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Rampasan beg bagasi yang menyimpan dadah jenis syabu 2,000 gram dan 10 gram pil ekstasi yang bernilai RM64,700 pada sidang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Cuba seludup keluar syabu dan pil ekstasi ke negara asal, tindakan dua 'keldai dadah' warga Indonesia itu 'kantoi' apabila mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Isnin lalu.

Kedua-duanya lelaki berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan pada jam 5.20 petang sebelum pemeriksaan, membawa kepada penemuan dadah yang dibawa di dalam bagasi bimbit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, taktik penyeludupan dua suspek itu terbongkar selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh polis bantuan LTAPP.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 20 bungkusan plastik berisi syabu seberat dua kilogram dengan anggaran nilai RM64,000 yang disembunyikan dalam lipatan baju serta 14 biji pil ekstasi.

"Semakan mendapati ini kali pertama kedua-dua suspek menyeludup keluar dadah dari lapangan terbang ini.

"Bagaimanapun, perjalanan mereka ke negeri ini adalah kali kedua dan kali pertama hanya datang bagi memantau tahap keselamatan di LTAPP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Hamzah berkata, suspek dipercayai menyeludup dadah dari Pulau Pinang untuk dibawa pulang ke negara asal untuk diedarkan.

"Ketika ini kita sedang menjalankan siasatan sejauh mana pembabitan mereka termasuk jumlah upah diterima sebagai keldai dadah.

"Mereka direman sehingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain Hamzah berkata, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun bersama 0.30 gram syabu dan dua butir peluru dalam serbuan yang dijalankan di Bayan Lepas, Isnin lalu.

"Butir peluru berkenaan bertulis Lapua .38 SPL dan S&B .38 Special manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod lampau kesalahan dadah.

"Suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:58 PM