TEN Hag mempunyai lebih ramai pilihan di bangku simpanan. FOTO REUTERS
TEN Hag mempunyai lebih ramai pilihan di bangku simpanan. FOTO REUTERS
Agensi

Manchester: Manchester United menerima tiga berita baik menjelang final Piala FA menentang Manchester City, Sabtu ini apabila Mason Mount, Anthony Martial dan Victor Lindelof mula berlatih, semalam.

Mount terlepas tiga perlawanan terakhir pada musim dibelenggu kecederaan teruk yang menyaksikan dia hanya bermula lapan kali sejak perpindahan bernilai £60 juta (RM359.44 juta) dari Chelsea, tetapi mungkin kembali ke dalam skuad apabila menentang City di Wembley.

Martial pula tersisih sejak awal Disember dan menjalani pembedahan pangkal paha pada Januari dan hanya tujuh kali beraksi dalam kesebelasan utama musim ini.

Penyerang dari Perancis itu akan meninggalkan Old Trafford secara perpindahan percuma selepas sembilan tahun di kelab itu dan United memutuskan tidak menyambung 12 bulan lagi dalam kontrak bernilai £250,000 (RM1.497 juta) seminggu.

Victor Lindelof yang turut berdepan masa depan tidak menentu di United, terlepas 10 perlawanan terakhir selepas mengalami masalah di Brentford pada hujung Mac.

Berita itu menggembirakan pengurus, Erik ten Hag selepas kepulangan dua lagi pemain yang baru pulih daripada kecederaan, Lisandro Martinez dan Raphael Varane dalam beberapa perlawanan terakhir.

Ten Hag turut berharap Harry Maguire akan melepasi ujian kecergasan untuk bersama pasukan ke Wembley, yang bermakna United akan mendapat semua lima bek tengah senior apabila berdepan City.

Sekurang-kurangnya pemain di bangku simpanan kelihatan lebih gagah selepas Ten Hag terpaksa membariskan ramai pemain remaja sebelum ini.

"Posisi bek tengah kami menjadi ibarat mimpi ngeri sepanjang musim ini," katanya selepas menang 2-0 di Brighton, Ahad lalu.

"Saya gembira apabila kembali mempunyai pilihan dan sesuatu untuk difikirkan. Sudah tentu mengenai kualiti dan tahap kecergasan. Mungkin kami memerlukan masa lebih daripada dua minggu."

Dalam dua aksi terakhir, Ten Hag menggunakan Bruno Fernandes sebagai pemain nombor 9 dan mungkin kekal dengan strategi itu menentang City, manakala Mount bersaing dengan Scott McTominay untuk posisi no 10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:51 PM