MUHYIDDIN (kiri belakang) harap Team Lemah mampu muncul juara di Grand Final JEF22. FOTO Ihsan Agola eSport Centre
MUHYIDDIN (kiri belakang) harap Team Lemah mampu muncul juara di Grand Final JEF22. FOTO Ihsan Agola eSport Centre
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Team Lemah berjaya membuktikan mereka bukan pasukan lemah selepas berjaya muncul juara Festival Esukan Johor (JEF22) Chapter 1 dalam saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sekali gus berjaya membawa pulang RM1,500 dan mara ke Grand Final September depan yang bakal dilangsungkan di Arena Larkin, Johor.

Kejayaan di kejohanan yang dianjurkan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) melalui anak syarikatnya, Sports Johor Sdn Bhd (SJSB) itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan Team Lemah selepas gagal melayakkan diri ke MPL MY Musim Sembilan selepas tumpas kepada MAB Esports Februari lalu.

Menurut ketua pasukan Muhyiddin Ahmad Lutfi, kejayaan menumpaskan Lunatix Origins 2-1 dalam saingan akhir Sabtu lalu kembali menaikkan moral mereka dan berjaya mencapai sasaran untuk muncul juara JEF22 Chapter 1.

"Halangan untuk muncul juara itu bukannya mudah kerana kami tahu kemampuan yang ada pada pasukan Lunatix. Mereka memang pasukan yang kuat," kata Muhyiddin yang juga pelajar di jurusan Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ujarnya, sasaran mereka sekarang ini adalah untuk menjadi juara di Grand Final walaupun sedar ia satu lagi pertandingan sukar termasuk dengan kehadiran pasukan jemputan.

"Kalau ikutkan kami mula ditubuhkan pada bulan Julai atau Ogos tahun lalu di mana ketika itu tidak menggunakan nama Team Lemah kerana ditaja oleh satu syarikat. Bagaimanapun, selepas tidak lagi ditaja kerana syarikat berkenaan sudah tiada pembabitan dalam esukan, kami mmebentuk nama Team Lemah dengan mengekalkan barisan pemain asal.

"Sekarang kami bergerak sendiri dalam dunia esukan dan tidak mahu berpecah kerana sedar ia bakal memberikan kesukaran untuk mana-mana pemain menonjolkan diri. Kami kekal bersama dan Alhamdulillah sampai sekarang menggunakan barisan pemain seperti sebelum ini.

"Februari lalu kami hampir untuk melayakkan diri ke MPL MY Musim Sembilan sebelum tumpas kepada MAB di perlawanan akhir kelayakan. Bagaimanapun, kami akan cuba melayakkan diri ke kejohanan berkenaan bagi musim 10," katanya yang bersepakat bersama pemain lain menggunakan nama Team Lemah kerana mahu dikenali sebagai pasukan 'underdog'.

Nama Team Lemah seakan membawa tuah buat Muhyiddin, Ikmal Hakimy Azemi, Ammar Asyraf Abd Rahman, Izat Syazmil Shokri, Luqman Hakim Noor Bakri, Azim Suhaimi dan Amin Nazri kerana mereka mula dikenali dalam arena MLBB.

"Lama-kelamaan Team Lemah semakin meletup dalam dunia MLBB dengan ramai peminat mengenalinya dan baju yang kami hasilkan sendiri juga laris di pasaran," katanya.

Lunatix yang muncul naib juara membawa pulang RM800, manakala Team Apple memenangi wang tunai RM500 selepas menduduki tempat ketiga dan tempat keempat milik Edo Tensei (RM200).

Bagi permainan FIFA 22 Pro Club, juara menjadi milik XCGF Xforce (RM 3,000), diikuti Angkatsuki XXX (RM 1,600) selaku naib juara dan Fesqilla VFC (RM 1,000) menduduki tempat ketiga dan Klasiko VFC (RM 400) meraih tempat keempat.

DBD Project pula membawa pulang RM1,500 selepas muncul juara PlayerUnknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile, Dingos RX (RM 800) meraih kedudukan naib juara, diikuti Dingoz Golden (RM 500) dan Farang Elementus (RM 200) menduduki tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 2:51 PM