Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Organisasi esukan, Todak mencari jurulatih atau penganalisis baru bagi memantapkan lagi pasukan Mobile Legends:Bang Bang (MLBB) mereka.

Prestasi Todak MLBB di MPL MY musim ketujuh adalah memberangsangkan di tempat kedua namun mereka gagal mencari momentum di Piala Asia Tenggara (MSC) 2021 dengan hanya meraih kedudukan ketujuh/kelapan.

Menurut Todak mungkin dengan adanya jurulatih dan penganalisis ini boleh membantu mereka memperbaiki kesilapan dalam kejohanan akan datang.

Antara kriteria yang diperlukan pasukan berkenaan ialah pemohon harus mempunyai pengalaman meluas dalam MLBB dan kemahiran berkomunikasi yang tinggi, selain memiliki intrapersonal yang baik.

Mereka juga mencari individu yang mempunyai kefahaman yang baik terhadap industri esukan dan sukan, serta liga dan perniagaan pasukan profesional.

Syarat lain yang ditetapkan ialah boleh menginap dan tinggal bersama pemain di Gaming House di Cyberjaya serta mempunyai kemahiran menggunakan Microsoft Word, Excel dan Power Points.

Kepada mereka yang berminat boleh menghantar resume atau CV di [email protected].

Sementara itu, jurulatih RSG MY, Hifadhi Fatha Sarbini (Cr1tics) kini tidak lagi bersama organisasi berkenaan.

Dalam satu pengumuman ringkas di Facebook, RSG MY mengucapkan terima kasih dan menghargai sumbangannya bersama pasukan.

"Terima kasih atas khidmat profesional dan kasih sayang diberikan sepanjang berada dengan pasukan," tulis kenyataan itu.

Hifadhi membantu pasukan RSG MY menjuarai liga profesional (MPL) MY musim ketujuh dan tempat keempat di Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2021.

Untuk berita lanjut mengenai e-sukan, anda boleh layari www.mygameon.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:24 PM