TIMBALAN Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), On Jabbar @ Ja'afar (dua kiri) pada Majlis Prapelancaran JEF22. FOTO Ihsan Sports Johor
TIMBALAN Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), On Jabbar @ Ja'afar (dua kiri) pada Majlis Prapelancaran JEF22. FOTO Ihsan Sports Johor
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Fenomena luar biasa eSukan memang tidak dapat disangkal lagi apabila ia muncul antara industri utama yang berkembang pesat sejak dua tahun lalu dan mendapat pengiktirafan di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) melalui anak syarikatnya, Sports Johor Sdn. Bhd. (SJSB) tampil menganjurkan kejohanan terbesar eSukan di negeri Johor iaitu Festival Esukan Johor (JEF22).

Pengurus Besar SJSB, Mohd Johari Tarmizi berkata, penganjuran JEF22 bakal memberi peluang buat Johor untuk mempromosi dan mempersiapkan diri sebagai hab eSukan di Malaysia dalam tempoh lima tahun lagi.

"Objektif utama mempromosikan eSukan untuk membangunkan platform kompetitif kepada semua atlet eSukan di Johor. Festival julung kali ini mempunyai tiga peringkat dan ia akan menjadi acara tahunan terbesar di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekuti KPRJ, Lukman Abu Bakar berharap, JEF22 mampu melahirkan sekurang-kurangnya lima pemain secara konsisten dari setiap liga untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

"JEF22 juga memberi peluang kepada komuniti eSukan di Johor untuk membabitkan diri dalam penganjuran acara bukan sahaja sebagai sukarelawan tetapi juga membuka peluang pekerjaan," jelasnya.

Kejohanan yang ditaja oleh KPRJ itu menawarkan hadiah terkumpul keseluruhan berjumlah RM86,000 dengan mensasarkan penyertaan daripada 7,500 atlet termasuk pasukan jemputan yang mempunyai nama besar dalam industri eSukan.

Kesemua peserta berpeluang menunjukkan kehandalan masing-masing dalam tiga jenis judul permainan video iaitu FIFA 22, Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile.

Peringkat pertama JEF22 diadakan secara atas talian bermula 22 Mac ini diikuti peringkat kedua (22 Mei) dan peringkat ketiga (22 Julai) sebelum berlangsungnya Grand Final di Arena Larkin pada 22 September 2022.

Juara bagi setiap peringkat akan membawa pulang RM3,000 untuk kategori FIFA 22, RM1,500 (MLBB) dan RM1,500.00 (PUBG Mobile), manakala emenang Grand Final FIFA 22 pula bakal membawa pulang RM10,000, RM8,000 (MLBB) dan RM8,000.00 (PUBG Mobile).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 3:07 PM