KETUA Yoodo, Chow Tuck Mun (empat dari kanan) bersama pasukan Yoodo Alliance PUBG Mobile.
KETUA Yoodo, Chow Tuck Mun (empat dari kanan) bersama pasukan Yoodo Alliance PUBG Mobile.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Melihat generasi muda begitu meminati e-Sukan membuatkan pihak Yoodo memilih untuk terbabit di dalam Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) dan Player Unknown Battlegrounds Mobile (PUBGM) secara serius agar bakat yang ada itu dapat diperluaskan lagi ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, sukan elektronik di Malaysia ketika ini berkembang dengan begitu baik dan disebabkan itu mereka memilih untuk bersama pasukan Yoodo Alliance untuk PUBG Mobile dan Yoodo Red Giants bagi MLBB.

Jelasnya, di Malaysia dua acara e-Sukan itu antara yang mendapat perhatian tinggi selain mempunyai peminat yang ramai di negara ini.

"Kita ada banyak bakat dan kalau kita cakap berkenaan PUBG Mobile, kita lihat memang ada bakat dan pasukan kita juga berjaya di peringkat global.

"Contohnya pasukan kami (Yoodo Alliance) ketika ini sedang bersaing di Grand Final Kejohanan Dunia Player Unknown Battle Ground PUBG Mobile (PMGC) 2023 yang akan berlangsung di Istanbul, Turkiye.

"Pasukan pertama kami sebelum ini, Yoodo Gank berjaya muncul juara di Grand Final Liga Profesional Asia Tenggara (PMPL Sea) pada tahun 2020. Ini membuktikan kita mempunyai bakat untuk bersaing di peringkat global bersama pasukan terbaik dunia.

"Untuk MLBB, saya juga rasa bangga dengan prestasi Yoodo Red Giants di dalam Mobile Legends Professional League (MPL) musim ke-12 apabila berjaya berada kedudukan ketiga keseluruhan biarpun mereka pasukan baru tetapi boleh bersaing dengan pasukan hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:13 PM