Pusingan kelayakan dalam talian bagi PUBG Mobile, DOTA 2 dan MLBB bermula pada 15 Januari hingga 20 Januari ini. FOTO Ihsan ESI
Pusingan kelayakan dalam talian bagi PUBG Mobile, DOTA 2 dan MLBB bermula pada 15 Januari hingga 20 Januari ini. FOTO Ihsan ESI
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Perkembangan industri esukan terus diperkukuh menerusi anjuran edisi ketiga Kejohanan Esukan Malaysia 2023/2024 (MEC23/24) menampilkan lima jenis permainan, bermula dengan pusingan kelayakan yang berlangsung semalam.

Esports Integrated (ESI) dalam satu kenyataan media memaklumkan permainan yang dipertandingkan adalah Player Unknown's Battleground (PUBG) Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Tekken 7 dan Gran Turismo 7.

Menurut ESI, perlawanan bagi semua jenis permainan berkenaan dijadualkan berlangsung berdasarkan tiga jenis kategori kejuaraan yang sudah ditetapkan.

"Pusingan kelayakan dalam talian bagi PUBG Mobile, DOTA 2 dan MLBB bermula pada 15 Januari hingga 20 Januari ini.

"Perlawanan secara fizikal dan perlawanan akhir bagi PUBG Mobile, Tekken 7 dan Gran Turismo 7 pula bermula 26 hingga 28 Januari. Manakala perlawanan secara fizikal dan perlawanan akhir DOTA 2 dan MLBB dijadualkan bermula 2 hingga 4 Februari depan," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, peserta yang terlibat bakal bersaing untuk merebut hadiah terkumpul sebanyak RM250,000 merangkumi kelima-lima jenis permainan terbabit.

Pemenang MLBB, PUBG Mobile dan DOTA 2 bakal menerima hadiah terkumpul sebanyak RM130,000 manakala hadiah terkumpul bagi Tekken 7 dan Gran Turismo 7 adalah sebanyak RM17,500.

Turut disediakan adalah hadiah MVP sebanyak RM5,000 dan Rookie Terbanyak bernilai RM2,500.

Kejuaraan ini adalah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi ESI dengan sokongan Rakan Minuman Rasmi, Susu Goodday Malaysia, Rakan Pelaksana, Rakan Muda dan Rakan Digital.

Sementara itu, ESI turut menzahirkan harapan bagi mencipta struktur program yang bertenaga, mampan dan inklusif untuk menyokong penubuhan ekosistem serta memastikan perkembangan arena esukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 7:56 PM