PEMAIN England meraikan kejayaan menumbangkan Switzerland. FOTO Reuters
PEMAIN England meraikan kejayaan menumbangkan Switzerland. FOTO Reuters
AFP

Düsseldorf: England terus memburu kejuaraan utama pertama dalam tempoh 58 tahun selepas melakukan kebangkitan lewat sebelum menewaskan Switzerland 5-3 menerusi penentuan penalti untuk menempah tempat di separuh akhir Euro 2024.

Selepas tamat 120 minit pada kedudukan 1-1, penjaga gol Jordan Pickford menjadi wira Three Lions dalam penentuan penalti apabila dia menyelamatkan sepakan penalti pertama Switzerland oleh Manuel Akanji.

Cole Palmer, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Ivan Toney, dan Trent Alexander Arnold menjadikan penalti mereka untuk menghantar England bertemu Turkiye atau Belanda dalam separuh akhir di Dortmund Khamis depan.

Selepas memerlukan gol penyamaan Bellingham pada minit ke-95 sebelum menewaskan Slovakia dalam masa tambahan pada peringkat 16 terakhir England sekali lagi hampir mengalami kekalahan dengan aksi berbaki 10 minit.

Perlawanan membosankan dalam 75 minit pertama bernyala semula selepas Breel Embolo meletakkan Switzerland unggul di depan.

Gol cantik Saka dari luar kotak penalti menyamakan kedudukan buat England

Pertahanan Manchester City, Akanji, kemudian menjadi pembukaan yang malang apabila rekod buruk Switzerland dalam suku akhir kejohanan besar berterusan.

Mereka kini sudah kalah lima kali tanpa pernah mencapai separuh akhir.

Walaupun prestasi yang kurang memuaskan dari pasukan Gareth Southgate, England terus mara ke hadapan.

Dalam perlawanan ke-100 menguruskan negara, Southgate sekali lagi menolak pandangan untuk perubahan besar-besaran dalam barisan pemain tetapi mengubah sistemnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 3:32 AM