KANE ketika sesi latihan. FOTO AFP
KANE ketika sesi latihan. FOTO AFP
Reuters

Blankenhain: Rakan sepasukan Harry Kane di England bersatu hati menyokongnya selepas prestasinya yang kurang memuaskan di Euro 2024, dengan Luke Shaw dan Trent Alexander-Arnold memuji kepimpinan kapten mereka dan ancaman yang mampu dilakukannya terhadap lawan.

Kane sudah menjaringkan dua gol dalam kejohanan ini tetapi dilihat tidak berada pada prestasi terbaik sekali gus menyebabkan terdapat desakan supaya dia digugurkan untuk aksi separuh akhir menentang Belanda di Dortmund, Khamis ini.

Alexander-Arnold bagaimanapun menyokong Kane dan berkata penjaring terbanyak sepanjang zaman England itu boleh mencipta peluang tidak diduga.

"Sesiapa yang berdepan dengan England pasti mahu melihat Harry Kane tidak bermain.

"Semua tahu dia mampu memberi ancaman. Apa sahaja yang berlaku dalam kotak penalti, anda perlu sentiasa berjaga-jaga."

"Dia boleh menyudahkannya dari setiap sudut. Saya sentiasa mengatakan dia adalah pemain mempunyai penyudah terbaik yang pernah saya lihat atau bermain bersama.

"Dia boleh turun ke bawah dan membina semula permainan. Kemahirannya mengawal bola juga luar biasa," katanya.

Barisan serangan England berdepan kesukaran di Euro 2024 dengan Jude Bellingham dan Phil Foden tidak cemerlang seperti ketika bersama kelab masing-masing, termasuk tidak kerap menembusi pertahanan lawan.

Bukayo Saka lebih menyerlah ketika meraih kemenangan ke atas Switzerland di suku akhir dan menjaringkan gol penyamaan yang hebat untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan serta penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 9:47 PM