DONYELL Malen meraikan jaringan ketiga Belanda. FOTO AFP
DONYELL Malen meraikan jaringan ketiga Belanda. FOTO AFP
AFP

Munich: Belanda mara ke suku akhir pertama Kejuaraan Eropah sejak 2008 selepas Donyell Malen menjaringkan dua gol ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Romania pada pusingan 16 terakhir, sebentar tadi.

Cody Gakpo meletakkan Belanda di depan tetapi mereka tidak dapat memanfaatkan kelebihan itu untuk mendapatkan gol kedua sehinggalah penyerang Liverpool itu membantu Malen meledak gol ketika berbaki tujuh minit permaiann di Munich.

Romania tidak mempunyai kualiti untuk menghukum lawan mereka sebelum Malen menambah gol peribadi kedua pada masa kecederaan.

Kemenangan itu meletakkan Oranje mara ke suku akhir bertemu pemenang antara Turki atau Austria, yang menewaskan Belanda 3-2 pada peringkat kumpulan.

"Kami bermain dengan baik. Saya sangat gembira. Terutama selepas perlawanan terakhir kami perlukan reaksi positif dan hari ini, ia adalah langkah yang baik dan di landasan tepat.

"Kami ada bercakap mengenai aksi agresif dan bertahan seperti satu pasukan. Semuanya sangat bagus," kata Gakpo.

Skuad bimbingan Ronald Koeman perlu meningkatkan ketajaman mereka di depan gawang gol sekiranya mereka ingin mencontohi pengurus mereka, yang pernah memenangi kejuaraan itu pada Euro 1988 di bumi Jerman.

Sebelum perlawanan, kapten Belanda, Virgil van Dijk berkata, pasukannya kekurangan tenaga dan 'kemahuan untuk menang' ketika tewas kepada Austria.

Juara Kumpulan E, Romania yang meraih kemenangan 3-0 ke atas Ukraine dalam perlawanan pembukaan mereka, yang juga kemenangan kedua negara itu di pentas Euro, melakukan serangan ke atas Belanda lebih awal.

Namun Belanda kekal konsisten sepanjang permainan dan kualiti yang kurang dimiliki Romania memberi kelebihan kepada skuad bimbingan Koeman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 2:26 AM