SIMONS meraikan gol pertamanya di pentas antarabangsa untuk skuad kebangsaan Belanda. FOTO AFP
SIMONS meraikan gol pertamanya di pentas antarabangsa untuk skuad kebangsaan Belanda. FOTO AFP
Reuters

Rotterdam: Belanda menang selesa 4-0 ke atas Iceland pada perlawanan pemanas badan terakhir, awal pagi tadi, namun kehilangan perancang, Frenkie de Jong daripada skuad ke Euro 2024 di Jerman.

De Jong bergelut untuk cergas selepas mengalami beberapa siri kecederaan buku lali bersama Barcelona pada musim ini.

Dia cuba berlatih buat kali pertama bersama rakan sepasukan pada Ahad lalu iaitu selepas seminggu berlatih sendirian, tetapi pemeriksaan lanjut semalam mendapati dia tidak sempat bersedia menghadapi kejohanan itu.

Ia mengganggu semangat pemain skuad Belanda sekalipun mencatatkan kemenangan besar di Stadium Feijenoord.

Situasi dialami De Jong itu diumumkan selepas perlawanan, tetapi jurulatih, Ronald Koeman berkata, dia sudah mengetahui perkara itu empat jam sebelum sepak mula perlawanan dan memaklumkan kepada pemainnya.

"Pemeriksaan mendapati dia belum mampu melakukan apa yang sepatutnya. Ada reaksi daripada buku lalinya setiap kali selepas dia berlatih," kata Koeman.

"Jadi, anda boleh menyimpulkan doa tidak cergas 100 peratus untuk tiga minggu akan datang. Saya sudah mengagak perlawanan menentang Poland (aksi pembukaan Kumpulan D) pasti sukar."

De Jong, 26, kemudian memberi reaksi di media sosial dengan menyatakan: "Saya sangat sedih dan kecewa kerana tidak mampu beraksi di Kejohanan Eropah.

"Kami melakukan apa yang termampu pada minggu kebelakangan ini, tetapi malangnya buku lali saya perlukan lebih masa untuk pulih.

"Memang impian saya dan penghormatan besar untuk mewakili negara di pusingan akhir, memakai jersi oren, menyanyi lagu kebangsaan dan merasakan sokongan dari seluruh negara."

Belanda memberi isyarat awal pada aksi pemanas badan terakhir itu apabila Xavi Simons akhirnya membuka akaun jaringan untuk negaranya selepas 14 penampilan antarabangsa dan meletakkan mereka 1-0 sebelum rehat.

Virgil van Dijk menemui sasaran pada perlawanan kedua berturut-turut sebelum Donyell Malen menjadikan kedudukan 3-0.

Wout Weghorst menjaringkan gol keempat pada ketika Belanda bersiap untuk memulakan kempen menentang Poland di Hamburg, Ahad ini diikuti pertarungan dengan Perancis dan Austria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 8:23 AM