BARISAN pemain hoki negara ketika meraikan kemenangan menewaskan Oman 11-1. FOTO ASYRAF HAMZAH
BARISAN pemain hoki negara ketika meraikan kemenangan menewaskan Oman 11-1. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Skuad hoki lelaki negara tidak perlu 'serabut' memikirkan siapa lawan yang bakal dihadapi mereka tetapi sebaliknya harus bermain dengan 'cara Malaysia' dan mengikut perancangan.

Itu pendekatan yang diterapkan pengendali 'Malaysian Tigers', Arul Selvaraj dengan dia mahu anak buahnya terus turun dengan mentaliti sama bagi memastikan kemenangan ketiga berturut-turut berada dalam genggaman.

Dengan dua kemenangan ke atas Thailand dan Oman yang menyaksikan skuad negara 'berpesta' 20 gol, Indonesia yang menghuni ranking ke-60 dunia akan menjadi lawan ketiga mereka di Stadium Gongshu Canal Sport Park, hari ini.

"Ini bukanlah derbi jadi bagi kita, kita harus pastikan perkara asas kita sentiasa betul. Tiga perlawanan pertama ini memang membantu kita untuk bersedia dari perlawanan ke satu perlawanan yang seterusnya.

"Ia bukanlah mengenai siapa yang kita akan lawan, tak kisahlah kita lawan siapa pun tetapi bagaimana kita lawan mereka. Kita akan main dengan cara dan permainan kita.

"Kita perlu teruskan tabiat kita yang baik seperti ini tanpa mengira lawan kita," katanya.

Berdasarkan prestasi semasa skuad negara yang sedang 'menggila', mereka sepatutnya tidak berdepan masalah untuk memenangi aksi berdepan Indonesia apatah lagi Indonesia tewas kedua-dua aksi sebelum ini.

Indonesia dibelasah 10-0 oleh Korea Selatan pada aksi pembukaan mereka sebelum tewas 5-1 di tangan China pada aksi kedua.

Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia terikat enam mata dan 20 gol bersama Korea Selatan namun menghuni tangga kedua Kumpulan B kerana hanya dibezakan dengan satu perbezaan jaringan dengan pencabar terdekat mereka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 3:10 PM