AFP

Al Khor: Penyerang Jerman, Kai Havertz menggambarkan penyingkiran mereka di Piala Dunia bagaikan 'menonton filem seram', dengan rakan-sepasukan untuk mengetahui nasib mereka berdasarkan keputusan perlawanan di antara Jepun dan Sepanyol yang dipaparkan di stadium.

Juara dunia empat kali itu menewaskan Costa Rica 4-2 namun ditunjuk jalan keluar kerana Jepun melakukan kejutan menang ke atas Sepanyol 2-1, sekali gus menyaksikan pasukan Blue Samurai berada di puncak kumpulan.

Meskipun menamatkan saingan kumpulan dengan empat mata, Sepanyol berpeluang untuk mara berbanding Jerman kerana jumlah perbezaan jaringan.

Havertz, yang menjaringkan dua gol pada babak kedua selepas dimasukkan dari bangku simpanan berkata, cara mereka mengetahui mengenai keputusan tersingkir daripada Piala Dunia menjadikan detik itu bertambah sukar.

"Apabila terjadi sebegini, ia seperti sedang menonton sebuah cerita seram.

"Kami mengetahui ketika berada dalam perlawanan yang Jepun mendahului, kemudian ranking pula dipaparkan di stadium.

"Kami masih mempunyai sedikit harapan yang Sepanyol akan menjaringkan gol. Namun kemudian, kami sedar yang perlawanan Jepun sudah pun tamat,"

Havertz dalam pada itu menyalahkan prestasi pasukan ketika menentang Jepun sebagai penyebab utama mereka tersingkir dan memberi bayangan bola sepak Jerman tidak berada dalam situasi yang baik.

"Apabila kamu keluar dua kali di pusingan pertama dan sekali di pusingan 16 terbaik, ia sangat mengecewakan. Kami perlu jujur dan berkata yang selama empat tahun, semuanya tidak berlangsung dengan baik.

"Sekarang kami sudah tersingkir dua kali di pusingan kumpulan. Saya tidak fikir yang kami adalah sebuah pasukan pilihan lagi," kata Havertz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:30 AM
HAVERTZ (kanan) berdebar menunggu keputusan antara Jepun dan Sepanyol. FOTO AP
HAVERTZ (kanan) berdebar menunggu keputusan antara Jepun dan Sepanyol. FOTO AP