BELLINGHAM (tengah) menjadi antara tonggak penting Real Madrid. FOTO AFP
BELLINGHAM (tengah) menjadi antara tonggak penting Real Madrid. FOTO AFP
AFP

Madrid: Tahun pertama Jude Bellingham di Real Madrid bermula dengan cukup cemerlang dan ia mungkin lebih menakjubkan selepas ini.

Dengan gelaran juara liga sudah diraih, Madrid menyasarkan untuk meraih gelaran berganda iaitu La Liga dan Liga Juara-Juara (UCL) buat kali kelima apabila menentang bekas kelab Bellingham, Borussia Dortmund pada perlawanan akhir Wembley, Ahad ini.

"Ia adalah perlawanan yang begitu besar, final Liga Juara-Juara pertama saya, di England menentang pasukan lama saya. Ia adalah perlawanan yang saya cukup teruja dan impikannya," kata Bellingham kepada pemberita minggu ini.

Pemain tengah berusia 20 tahun itu dipilih sebagai pemain terbaik La Liga musim ini.

Bellingham menjaringkan 19 gol pada saingan liga dan empat gol di pentas Eropah dalam laluan ke final.

Setibanya di Real Madrid musim panas lalu, dia mendedahkan keterujaannya terhadap bekas pemain tengah hebat, Zinedine Zidane dan malah menyarung jersi nombor lima legenda Perancis itu.

Bagaimanapun jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti mempunyai perancangan lain untuk Bellingham, seorang pemain tengah berkaliber ketika di Dortmund, apabila memberi kepercayaan kepadanya menggantikan tempat penyerang, Karim Benzema yang meninggalkan kelab itu.

Dia memberi impak segera apabila meledak 13 gol dalam 13 perlawanan pertamanya, menyaksikannya bermula cemerlang dengan penyokong Madrid pantas menyanyikan lagu Beatles 'Hey Jude' khas untuknya.

Bellingham menjaringkan dua gol, termasuk gol kemenangan minit ke-91 dalam aksi Clasico pertamanya untuk meraih kemenangan ke atas juara bertahan ketika itu, Barcelona di bumi Catalan.

"Saya datang ke sini mengharapkan untuk menang. Ia mungkin sikap yang agak tamak tetapi anda perlu mempunyai keyakinan tinggi apabila beraksi dengan begitu ramai pemain hebat," kata Bellingham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 9:34 AM