GRIEZMANN melambai kepada peminat sebelum sesi latihan Perancis di   Clairefontaine-en-Yvelines, semalam.
GRIEZMANN melambai kepada peminat sebelum sesi latihan Perancis di Clairefontaine-en-Yvelines, semalam.
Agensi

Paris: Didier Deschamps tidak bimbang dengan kemerosotan prestasi Antoine Griezmann menjelang kempen pusingan akhir Liga Negara-Negara minggu ini.

Pemain berusia 30 tahun itu kembali ke Atletico Madrid dari Barcelona pada penghujung Ogos lalu selepas dua musim tidak menentu di Camp Nou.

Griezmann dijangka memulihkan kariernya di ibu kota Sepanyol itu tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol malah gagal mencipta sebarang bantuan gol dalam tujuh penampilan bersama Atletico.

Jaringan tunggalnya dilakukan ketika menewaskan Milan 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara tetapi disisihkan dalam kesebelasan ketika menentang Barca Sabtu lalu.

Dia tersenarai dalam skuad 23 pemain menghadapi Liga Negara-Negara yang menyaksikan Perancis berdepan Belgium dalam aksi separuh akhir awal pagi Jumaat ini.

Les Blues kemudiannya akan menentang Itali atau Sepanyol pada final Ahad ini atau playoff tempat ketiga bergantung keputusan kedua-dua aksi separuh akhir.

Deschamps tidak bimbang dan sedia menurunkan Griezmann yang meledak 41 gol sepanjang 98 kap bersama Perancis untuk kedua-dua perlawanan itu.

"Jaringannya di Liga Juara-Juara sangat positif," kata Deschamps ketika sidang akhbar awal pagi tadi. "Walaupun dia tidak membarisi skuad utama, gol itu memberikan dia keyakinan.

"Dia kembali ke kelab sangat dikenali tetapi dengan pemain berbeza sekitarnya. Dia mampu menyesuaikan dirinya dengan mereka.

"Dengan kualiti dimiliki dan tahap pemikirannya, saya tidak bimbang. Saya tahu dia pasti gembira bersama skuad Perancis."

Griezmann memainkan peranan penting ketika menewaskan Belgium pada separuh akhir Piala Dunia sebelum menjulangnya pada 2018.

Perancis berpeluang menebus duka di Liga Negara-Negara selepas tersingkir pada peringkat 16 terakhir Euro 2020 namun mereka perlu mengatasi cabaran dua pasukan menduduki kelompok lapan terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 8:26 AM