PEMAIN Negeri Sembilan mendengar taklimat mengenai penggunaan VAR di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
PEMAIN Negeri Sembilan mendengar taklimat mengenai penggunaan VAR di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) menjadi antara kelab terawal yang diberikan taklimat berkaitan pelaksanaan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengendali Liga Malaysia (Liga M), Liga Bolasepak Malaysian (MFL).

Ketua Pegawai Operasi NSFC, Firdaus Bhari berkata taklimat disampaikan oleh jurulatih VAR dari Unit Pengadilan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jugaravi Chandran.

Katanya, semua pegawai dan pemain pasukan Negeri Sembilan menghadiri taklimat berkenaan.

"Seperti diketahui MFL akan memperkenalkan penggunaan VAR ini pada saingan Liga M musim ini dan taklimat ini penting bagi memberi sedikit sebanyak input kepada pegawai serta pemain sebelum dipraktikkan pada saingan bermula Mei nanti.

"NSFC adalah antara kelab terawal yang diberikan taklimat VAR ini. Sesi taklimat ini susulan pemeriksaan yang dilakukan pihak MFL di stadium minggu lalu.

"Banyak perkara yang dapat kami pelajari daripada sesi taklimat ini dan yang penting ia dapat membantu pihak kelab dalam membuat persiapan sewajarnya ketika liga bermula nanti," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang semalam.

Menurutnya, bagaimanapun dari segi mekanisma pelaksanaan VAR ini terutama dari segi keperluan produksi dan teknikal adalah di bawah MFL, namun kami mengalu-alukan penggunaan VAR berkenaan sebagai langkah menaik taraf Liga M terutama dari aspek kualiti pengadilan.

"Kami menyambut baik penggunaan VAR ini dalam Liga Malaysia sebagai satu keperluan memandangkan terdapat beberapa pertikaian membabitkan mutu pengadilan dalam saingan sebelum ini," katanya.

Saingan Liga Malaysia musim 2024-2025 dijadual akan membuka tirainya pada 10 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 5:27 PM