MAHFIZUL Rusydin. FOTO SELANGOR FC
MAHFIZUL Rusydin. FOTO SELANGOR FC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Selangor FC sedia maklum pergaduhan yang berlaku di luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang semalam dan menyerahkan perkara itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lebih lanjut.

Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin berkata, beliau ada melihat video serta gambar yang tular di media sosial namun tidak mengetahui secara jelas apa yang terjadi dan menurutnya, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku.

"Kita dimaklumkan dan berharap apa yg terjadi ini dapat diselesaikan dengan baik mengikut undang-undang di Malaysia. Pada pandangan kami, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

"Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalani siasatan dan seterusnya sudah pasti mereka akan didakwa atas kesalahan yang dilakukan mengikut laras undang-undang yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu Arena Metro melaporkan berlaku isu pergaduhan di luar stadium melibatkan penyokong tuan rumah, Selangor FC bersama penyokong Perak FC sehingga ada penyokong yang mengalami kecederaan di muka.

Melalui video dan gambar tersebar di media sosial, kelihatan beberapa penyokong menerima rawatan di kepala akibat pergaduhan itu dan penyokong Perak FC turut tidak dibenarkan keluar dari stadium untuk keselamatan semua orang selamat.

Setakat ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan dari mangsa yang terlibat dalam pergaduhan di luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 5:58 PM