ELAVARASAN calon penolong jurulatih Harimau Malaya. FOTO Syafeeq Ahmad
ELAVARASAN calon penolong jurulatih Harimau Malaya. FOTO Syafeeq Ahmad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Calon utama penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, E Elavarasan dianggap tepat dan mampu memudahkan tugas ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dari Korea Selatan.

Elavarasan yang cukup berpengalaman dan sudah bergelumang sebagai jurulatih sejak 19 tahun lalu adalah antara jurulatih tempatan paling berbakat yang pernah dilahirkan negara.

Ia dibuktikan apabila setiap pasukan di bawah bimbangannya sering menghadirkan kejayaan biarpun pada awalnya langsung tidak diletakkan harapan besar dengan hanya menggunakan pemain-pemain muda.

Paling diingati sudah tentunya kejayaan PKNS FC layak ke pentas final Piala FA 2016 sebelum tewas 2-1 di tangan Johor Darul Ta'zim.

Selain itu, beliau juga pernah menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana buat pasukan Felda United pada 2010 dan membawa kelab terbabit ke Liga Super.

Malah, bekas pemain Selangor itu hampir memenangi Liga Perdana pada musim lalu bersama Sarawak United namun seteru utama Negeri Sembilan FC berjaya memintas skuad Elavarasan di hujung saingan.

Menurut bekas pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang pernah berkerja rapat dengan jurulatih itu dari 2015-2017 mengakui Elavarasan memiliki karisma tersendiri.

"Siapa-siapa yang terpilih seharusnya Ketua Jurulatih setuju atas krebiliti dan kelayakan beliau. Saya yakin ketua jurulatih akan menilai penolong jurulatih mengikut acuan dan kehendaknya lebih-lebih lagi jurulatih adalah bekas Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Korea.

"Pada saya Ela (Elavarasan) layak dipertimbangkan disebabkan pengalaman mengurus dan melatih pasukan, sentiasa 'update' dengan taktikal terkini bola sepak dan trend semasa.

"Malah, berpengetahuan mendalam tentang pemain-pemain tempatan dan mampu menjadi jambatan dalam pengurusan pasukan dengan pemain kelak.

"Kelebihan Ela adalah orangnya seorang yangg teliti (merticulous), komited dan sentiasa fokus. Malah, beliau 'up to date' dalam sistem terkini bola sepak dan berupaya membaca taktikal dengan baik," katanya ketika dihubungi.

Nama Elavarasan disebut-sebut calon hangat untuk membantu Pan-gon yang dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan bulan lalu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Pan-gon sudah meneliti tiga calon akhir dari kalangan jurulatih tempatan dan beliau difahamkan mahu Elavarasan menyertai barisan kejurulatihannya dengan pengumuman rasmi hari ini di Wisma FAM.

Untuk rekod, Pan-gon turut melantik empat pengendali asing bagi membantunya iaitu penolong jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente, Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 7:19 PM