PEMAIN Romania raikan kejayaan selepas mara ke pusingan 16 terbaik. FOTO Agensi
PEMAIN Romania raikan kejayaan selepas mara ke pusingan 16 terbaik. FOTO Agensi
AFP

Frankfurt, Jerman: Romania bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Slovakia 1-1, dengan kedua-dua pasukan mara ke peringkat kalah mati Euro 2024.

Slovakia terlebih dulu mendahului menerusi tandukan Ondrej Duda sebelum sepakan penalti yang disempurnakan Razvan Marin mengkhiri babak pertama dengan keputusan 1-1.

Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat biarpun Romania nyata menguasai aksi sepanjang perlawanan terakhir Kumpulan E itu.

Romania mara selaku juara Kumpulan E, manakala Slovakia pula sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga kumpulan.

Pengendali Romania, Edward Iordanescu berkata pasukannya mencipta 'sejarah' selepas seri dengan Slovakia dan menamatkan penantian 24 tahun untuk mara ke pusingan 16 terakhir Kejuaraan Eropah.

Romania hanya layak sekali ke pusingan 16 terakhir dalam lima penampilan mereka di pentas Euro, tetapi pasukan Iordanescu berjaya menamatkan kemarau panjang itu.

"Saya percaya kepada pemain sejak awal lagi. Kami mempunyai potensi dan personaliti. Kami mendapat semangat yang tidak pernah hilang.

"Saya tidak tahu apa yang boleh kami lakukan pada masa depan tetapi kami sangat gembira kerana mara ke peringkat seterusnya. Kami mahu melangkah sejauh yang kami boleh.

"Kami kalah sekali tetapi kami bangkit dengan bijak dan keseimbangan. Kami sudah melakar sejarah. Ini adalah generasi jiwa. Ia adalah generasi yang hebat," kata Iordanescu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 3:57 AM