AKSI Lukaku ketika sesi latihan Belgium di Ludwigsburg, semalam. FOTO AFP
AKSI Lukaku ketika sesi latihan Belgium di Ludwigsburg, semalam. FOTO AFP
AFP

Stuttgart, Jerman: Belgium menentang Ukraine dalam aksi terakhir Kumpulan E di Euro 2024 dengan misi menduduki tangga teratas yang menyaksikan semua pasukan termasuk Romania dan Slovakia terikat tiga mata.

Kali pertama dalam sejarah kejohanan semua pasukan dalam kumpulan mengumpul jumlah mata sama sebelum perlawanan terakhir masing-masing.

Selepas tewas mengejut 0-1 di tangan Slovakia, Belgium bangkit menewaskan Romania 2-0 hasil prestasi mantap Kevin De Bruyne yang menyelamatkan pasukannya daripada satu lagi penyingkiran memalukan.

Masih ada kerja perlu diselesaikan di Stuttgart oleh Belgium yang menyaksikan beberapa pemain generasi emas mereka bersara selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022.

Tetapi dengan De Bruyne dan Romelu Lukaku masih beraksi, jurulatih Domenico Tedesco yakin pasukannya mampu pergi lebih jauh jika mereka mara ke peringkat kalah mati.

"Kami mempunyai banyak pemain berbakat," kata Tedesco selepas tamat aksi menentang Romania.

Namun sejauh mana keupayaan Belgium bergantung kepada ketajaman mereka memanfaatkan peluang dengan tiga gol Lukaku dibatalkan di Jerman selepas campur tangan VAR.

"Saya fikir perkara paling penting ialah mencipta peluang. Itu yang kami lakukan pada dua aksi terakhir. Jika dapat merebutnya, tidak akan jadi masalah," kata pemain sayap Jeremy Doku.

Lukaku menerima sokongan daripada rakan sepasukan yang percaya jaringan akan datang daripada penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium itu.

"Dia kurang bernasib baik tetapi dia gembira kami menang aksi terakhir. Sebagai penyerang anda selalu mahu menjaringkan gol tetapi dia gembira dengan impaknya di atas padang," kata Doku lagi.

Ukraine pula beraksi di kejohanan utama pertama mereka sejak pencerobohan Rusia pada 2022.

Mereka bangkit selepas tewas 0-3 di tangan Romania dan mengatasi Slovakia 2-1. Ukraine mara ke suku akhir Euro 2020 tetapi banyak perkara berubah sejak negara itu dilanda peperangan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Tiada pasukan dengan empat mata gagal mara ke peringkat 16 terakhir sejak kejohanan itu dikembangkan kepada 24 pasukan tetapi Ukraine akan tersingkir dengan perbezaan gol jika kedua-dua perlawanan dalam Kumpulan E berakhir seri.

Slovakia dan Romania beraksi di Frankfurt dengan satu mata sudah cukup untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 10:01 AM