SENTUHAN Lukaku ditagih Belgium.
SENTUHAN Lukaku ditagih Belgium.
AFP

Cologne, Jerman: Belgium berdepan ancaman tersingkir awal dari Euro 2024 menjelang pertembungan 'hidup mati' dengan Romania pada awal pagi Sabtu ini.

Selepas tewas mengejut 0-1 di tangan Slovakia dalam aksi pembukaan Kumpulan E, skuad Domenico Tedesco boleh melupakan impian jika mereka tewas kali kedua berturut-turut di Cologne.

Belgium tidak akan mampu menduduki dua tangga teratas jika mereka tewas di tangan Romania dan Ukraine gagal mengatasi Slovakia manakala harapan untuk layak antara empat kelab terbaik tangga ketiga juga tipis.

Kemenangan tidak dijangka Slovakia membuka luas ruang dalam Kumpulan E, hanya beberapa jam selepas Romania menewaskan Ukraine 3-0 dalam aksi pembukaan.

Romelu Lukaku terlepas beberapa peluang untuk Belgium dan jaringan penyamaannya lewat perlawanan dibatalkan VAR ketika Slovakia mencipta kejutan terbesar setakat ini.

Ia kekalahan memalukan Belgium yang kerap menepati status mereka di kejohanan utama.

Tedesco dilantik menggantikan Roberto Martinez pada Februari 2023 dan memastikan Belgium tidak tewas dalam 14 perlawanan sebelum Euro.

Namun selepas kekalahan di tangan Slovakia, mereka kini berdepan tekanan menjelang aksi menentang Romania.

"Memalukan. Kami bermain dengan baik pada 20 minit pertama tetapi kemudiannya melakukan kesilapan menyebabkan kami dihukum," kata pemain tengah Kevin De Bruyne.

"Pada babak kedua kami bertambah baik dan sepatutnya menang. Ada dua gol dibatalkan tetapi kemudiannya gagal menjaringkan gol. Itulah bola sepak."

Beberapa pemain veteran termasuk De Bruyne yang kini berusia 32 tahun serta pertahanan Jan Vertonghen, 37, tahu kejohanan kali ni yang terakhir untuk mereka menjulang trofi antarabangsa.

Skuad Tedesco juga memerlukan Lukaku, 31, untuk kembali dengan naluri pemusnah yang membolehkan dia meledak 85 gol dalam 116 penampilan bersama Belgium.

"Saya akan bimbang jika kami tak miliki kualiti itu, jadi saya yakin Lukaku akan menjaringkan gol Sabtu ini," kata Vertonghen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 10:04 AM