PEMAIN Belgium, Jeremy Doku (tengah) ketika aksi terakhir Kumpulan E Euro 2024 menentang Ukraine di Stuttgart Arena, Stuttgart. FOTO AFP
PEMAIN Belgium, Jeremy Doku (tengah) ketika aksi terakhir Kumpulan E Euro 2024 menentang Ukraine di Stuttgart Arena, Stuttgart. FOTO AFP
Reuters

Stuttgart, Jerman: Belgium menepati ramalan untuk melepasi peringkat kumpulan selepas terikat tanpa jaringan ketika bertemu Ukraine dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stuttgart Arena.

Keputusan itu menyaksikan Ukraine tersingkir daripada saingan dan gagal beraksi di peringkat 16 terbaik saingan Euro 2024 kali ini.

Belgium nyata menguasai permainan, tetapi Ukraine yang dikendali Serhiy Rebrov lebih banyak melakukan percubaan di babak pertama.

Pengendali Belgium, Domenico Tedesco akui beliau lega dengan keputusan itu dan kini pasukannya akan bersaing di peringkat kalah mati dengan menentang Perancis.

"Sudah tentu kami agak terkejut. Hari ini amat sukar, kami tahu mereka akan sanggup bermain untuk 1-1 atau 0-0, mesejnya amat jelas, kami mahu bermain dan menang. Pemain-pemain sudah cuba segalanya.

"Jika dicemuh peminat, kami perlu menerimanya, mereka boleh rasa kecewa, pemain-pemain tidak memahaminya, mereka sudah layak. Ini yang paling penting buat kami.

"Bagi kami ia sangat jelas, jika dibolosi satu gol, kami akan tersingkir," kata Tedesco.

Dalam satu lagi aksi menyaksikan Romania turut diikat Slovakia dengan 1-1 untuk kesemua pasukan dalam Kumpulan E mmengumpul empat mata.

Begitupun Romania muncul juara kumpulan hasil kelebihan jaringan dengan Belgium di tempat kedua.

Malah Slovakia yang menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan juga mara ke peringkat seterusnya selaku empat pasukan ketiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 3:46 AM