BARISAN pemain negara meraikan kejayaan menewaskan Indonesia. FOTO FB FAM
BARISAN pemain negara meraikan kejayaan menewaskan Indonesia. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Corak permainan skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara tetap sama namun taktikal yang diterapkan pada perlawanan terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) serba menjadi sekali gus menjerat Indonesia sehingga mencatatkan kemenangan besar 5-1.

Pengendali skuad B-16 negara Osmera Omaro berkata, barisan anak buahnya bijak terjemahkan setiap peluang dengan gol sekali gus memastikan pasukan negara mengakhiri saingan sebagai juara kumpulan B.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan sudah melakukan 'kerja rumah' terlebih dahulu dengan mengkaji corak permainan skuad Garuda Muda bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan negara.

Katanya, barisan skuad Harimau Muda juga menunjukkan komitmen tinggi sehingga Indonesia sukar menembusi gawang negara sehinggalah mereka dihadiahkan gol saguhati pada minit terakhir perlawanan.

"Pada saya, corak permainan tak banyak berubah dan boleh dikatakan tiada elemen kejutan dilakukan cuma kali ini taktikal diterapkan menjadi apabila pemain bijak menggunakan peluang ada untuk menjaringkan gol.

"Saya yakin kita mampu mengatasi Indonesia namun tidaklah dengan jaringan besar. Kemenangan ini menyuntik semangat pemain untuk meraih lebih banyak kejayaan pada kejohanan akan datang.

"Pada perlawanan sebelum ini, kita mempunyai banyak peluang namun tidak berakhir dengan jaringan sekali gus dilihat agak sukar atau bergelut untuk memenangi perlawanan,"katanya.

Pada perlawanan malam tadi skuad kendalian Osmera mempamerkan taring mereka apabila membelasah Indonesia 5-1 pada perlawanan terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 di Stadium Pakansari.

Rekod tanpa kalah pasukan yang rata-rata dibarisi pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu mengesahkan tiket empat ke Piala Asia B-17 2023 apabila menjuarai kumpulan B dengan 10 mata.

Keputusan itu juga menyaksikan skuad B-16 negara sudah lima kali beraksi di pentas Piala Asia B-17 dengan kali terakhir menempah tiket pada 2018.

Rekod terbaik skuad muda negara adalah dibawah kendalian S Balachandran apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir pada 2014 yang berlangsung di Thailand sebelum tewas kepada Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:49 PM