RICARDO menanggalkan sarung tangan ketika penentuan penalti Euro 2004. FOTO Agensi
RICARDO menanggalkan sarung tangan ketika penentuan penalti Euro 2004. FOTO Agensi
AFP

Harsewinkel: Penjaga gol Portugal, Diogo Costa berkata, dia akan memakai sarung tangan jika pasukannya berakhir dalam penentuan sepakan penalti di Euro 2024.

Pada 20 tahun lalu Ricardo terkenal dengan tidak memakai sarung tangan ketika menyingkirkan England menerusi penentuan sepakan penalti.

Ricardo kini menjadi jurulatih penjaga gol Portugal dan melatih Costa, tatkala negara itu sudah dijamin menduduki tempat teratas Kumpulan F menjelang perlawanan terakhir mereka menentang Georgia.

Bekas penjaga gol Ricardo, 48, menanggalkan sarung tangan sebelum menyelamatkan sepakan penalti Darius Vassell dan kemudian menjaringkan penalti kemenangan untuk menghantar Portugal mara ke separuh akhir Euro 2004.

"Kami belum bercakap mengenainya lagi, (tetapi) ia adalah satu keistimewaan untuk mempunyai Ricardo bersama kami setiap hari, berkongsi detik dan berlatih dengannya," kata Costa pada sidang akhbar.

"Beliau memberi saya semua nasihat supaya saya dapat menyelamatkan penalti... tetapi saya fikir akan sentiasa menggunakan sarung tangan."

Portugal menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang Greece pada 2004, tetapi memenangi Euro buat kali pertama pada 2016.

Mereka akan menentang Georgia pada hari Khamis di Gelsenkirchen selepas menempah tempat ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech diikuti dengan kemenangan 3-0 menentang Turkiye.

"Mewakili pasukan kebangsaan sentiasa berada di puncak teratas," sambung penjaga gol Porto, Costa, 24.

"(Jika kami memenangi Euro) Saya membayangkan kegilaan yang hebat, kegembiraan yang sangat besar. Ia akan menjadi sesuatu yang tidak dapat digambarkan.

"Tetapi tumpuan kami adalah untuk menewaskan Georgia dan bermain dengan baik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:09 AM